Rabu 17 October 2018
A- A A+

Duriotourism tarikan taman agropelancongan

Duriotourism tarikan taman agropelancongan


Pencinta buah-buahan khususnya durian pasti tidak mahu melepaskan peluang menikmati keenakan dan kelazatan raja buah itu sambil ditemani angin sepoi-sepoi bahasa di bawah redup pokok merendang bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan.

Kini peluang tersebut dapat dirasai apabila Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenal tarikan agropelancongannya yang terbaru, khusus bagi pencinta buah-buahan tempatan iaitu Duriotourism.

Taman berkenaan merupakan pusat agropelancongan MARDI yang kelima termasuk Taman Agroteknologi di Cameron Highlands dan Cherating, Pahang; Langkawi, Kedah dan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), Selangor.

Duriotourism yang terletak di dalam kawasan MARDI Kuala Kangsar, Perak merupakan taman agropelancongan berkonsepkan ‘kampung dusun’ yang membolehkan pelancong menikmati suasana kampung di dalam dusun buah-buahan.

Menurut Penolong Penyelidik Stesen MARDI Kuala Kangsar, Mohammad Ammaruddin Mohamed Amin, stesen yang mula dibangunkan pada tahun 1974 dengan keluasan 39.50 hektar itu pada asalnya merupakan sebuah pusat pengeluaran dan pemprosesan buah-buahan.

“Tanaman utama di stesen ini sudah semestinya durian dengan keluasan 22 hektar. Dengan koleksi serta kualiti buah yang dihasilkan, stesen ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai salah sebuah tarikan pelancongan agrotourism di negeri Perak ,” katanya ketika ditemui di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Menurutnya lagi, terdapat lebih daripada 20 koleksi durian pelbagai klon yang menjadi tarikan utama pelancong antaranya Musang King (D197), IO (D168), D24, D2, MDUR (D188), MDUR79 (D189), MDUR88 (D190) serta koleksi klon tempatan.

“Apa yang menarik mengenai taman agropelancongan ini, dengan bayaran masuk sebanyak RM50 bagi dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak, para pengunjung akan dibawa menaiki trem untuk mengelilingi dusun buah-buahan tempatan seperti manggis, mesta, rambutan dan pomelo.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk merasai sendiri keunikan mengait buah-buahan tersebut secara tradisional serta dapat mengenali perbezaan antara buah manggis dan mesta.

“Istimewa lagi, setelah penat mengait buah-buahan, pengunjung akan dibawa ke Perhentian 1 dan disajikan dengan pelbagai buah-buahan tempatan dan makanan yang berasaskan durian seperti pulut durian, serawa durian dan dodol,” ujarnya.

Mengulas dengan lebih lanjut, katanya, Durioutourism turut menawarkan produk yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri apabila kemahiran saintifik dan teknologi yang dimiliki MARDI ditonjolkan dalam produk berkenaan.

Produk-produk berkenaan merupakan tarikan paling istimewa, antaranya adalah Durio Tour, Durio Chalet, Friends of Durio, Durio Museum, Durio Product dan Durio Festival.

“Sejak Duriotourism MARDI ini dibuka beberapa bulan yang lalu, taman agropelancongan ini telah dikunjungi hampir 10,000 pengunjung dengan purata pengunjung seramai 150 orang sehari,” katanya.

Inovasi produk berasaskan durian

Durian sememangnya menjadi buah kegemaran rata-rata penduduk di Asia menyebabkan ia mendapat permintaan yang sangat tinggi dalam pasaran.

Seiring perkembangan teknologi semasa, pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dilakukan bagi menghasilkan produk baharu berasaskan durian.

Secara ringkas, pelbagai kaedah boleh dilaksanakan bagi hasilan durian antaranya seperti teknologi pemprosesan haba, teknologi sejuk beku, proses pengeringan dan fermentasi.

Bagi Instituti Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pula, penyelidiknya sentiasa bergerak ke hadapan dengan menghasilkan pelbagai inovasi berasaskan buah durian menggunakan segala teknologi dan kelengkapan yang ada dan pada masa sama, masih mengekalkan kualiti buah tersebut.

Pengurus Stesen MARDI Kuala Kangsar, Awis Puteh berkata, antara inovasi yang dihasilkan di MARDI adalah durian sejuk dingin untuk dieksport melalui udara ke negara-negara luar.

Katanya, sebelum ini durian dieksport dalam bentuk buah segar ke Singapura dan dalam bentuk sejuk beku ke negara-negara lain yang berdekatan.

“Namun begitu, beberapa cabaran terpaksa dihadapi apabila mengeksport buah dalam bentuk sebegini misalnya aroma durian yang terlalu kuat menyebabkan ia tidak dapat dieksport melalui udara.

“Selain itu, buah segar juga tidak boleh disimpan terlalu lama dan menyebabkan hanya 20 peratus bahagian sahaja yang boleh dimakan, manakala buah sejuk beku pula melibatkan kos yang tinggi dan rasanya kurang diterima pengguna,” katanya.

Justeru, MARDI telah menghasilkan inovasi durian sejuk dingin apabila teknologi berkenaan mampu meluaskan peluang pasaran durian Malaysia ke negara seperti China dan Hong Kong dengan pulangan lumayan.

Jelasnya, inovasi durian sejuk dingin menggunakan pembungkusan kalis bau dan kesegaran buah terjamin apabila masih mengekalkan warna, aroma, rasa dan tekstur.

“Selain itu, durian sejuk dingin juga boleh disimpan lebih lama sehingga lapan minggu dalam suhu -18 darjah Celsius, serta merupakan produk yang lebih selamat berdasarkan penyediaannya mengikut protokol Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Dengan teknologi ini, negara dijangka boleh mengeksport 100,000 metrik tan durian (30 peratus) setahun dan dapat menyumbang kira-kira RM5 bilion setahun kepada Pendapatan Negara Kasar,” ujarnya.

Tambahnya, selain durian sejuk beku, MARDI turut menghasilkan teknologi mesin pembuka durian yang beroperasi menggunakan sistem pneumatik dan mesin pelerai isi durian yang mampu menampung kapasiti pemprosesan sehingga 30 kilogram (kg) pes durian sejam.

“Bukan itu sahaja, inovasi durian dalam bentuk makanan turut dihasilkan, antaranya seri kaya durian, jem durian, sos tempoyak bercili, serbuk durian, durian kriogenik, dodol dan pelbagai lagi,” katanya.


Sumber: www.utusan.com.my

Tarikh dimuat naik pada 26 Januari 2018


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking