Rabu 19 December 2018
A- A A+

Seni Berpuisi

Pengenalan

Seni berasal dari perkataan Latin “ars” yang bererti “skill” atau kemahiran. Dalam pengertian yang luas, “art” atau seni, merangkumi semua disiplin, kreatif iaitu kesusasteraan, puisi, drama, muzik, tarian dan visual arts. Seni ialah suatu perkara yang meliputi seluruh yang dapat menimbulkan getaran kalbu, rasa keindahan. Seni dicipta untuk melahirkan gelombang kalbu, rasa dan keindahan manusia (S. Saripan, 1960:6).

Asas Seni Berpuisi

Sebuah puisi adalah sebuah dunia. Betapa tidaknya, jika kita benar-benar mendengar, memahami dan mendalami bentuk dan isi sesebuah puisi, maka pasti kita akan mendapat kesimpulan bahawa biarpun puisi itu terdiri dari huruf-huruf, kata-kata tetapi hakikatnya mempunyai daya kekuatan yang memberi kepuasan perasaan, fikiran dan jiwa yang membaca, mendengar atau menyampai puisi tersebut.

Berikut adalah perkara-perkara yang harus dilakukan untuk menjadi deklamator puisi yang baik:
•    Setiap puisi perlu dihafal terlebih dahulu dan jika melihat catatan, salah satu nilai seninya akan terhapus.
•    Pelajari puisi dari guru yang benar-benar mahir dan jangan berpuisi secara ikut-ikutan sahaja.
•    Minat dan kemahuan adalah sangat penting.
•    Kenal pasti tema, mesej, nilai dan nada puisi supaya penyampaian akan lebih berkesan lagi.
•    Senaman pernafasan sangat perlu untuk memberi kesan kepada khalayak apabila mendengar puisi yang dibaca.
•    Latihan sebutan secara vokal dan konsonan juga penting untuk menyampaikan puisi tersebut.
•    Latihan untuk berpuisi, dimulai dengan suara biasa, sederhana dan suara kuat.
•    Berpuisi lebih menarik jika disampaikan secara variasi, misalnya dengan berlagu dan tinggi rendah suara untuk memberi kesan kepada khalayak.
•    Setiap puisi mesti dialunkan secara spontan dan bersahaja dan bukannya secara dibuat-buat.
•    Penyampai puisi bukan hanya berbicara soal sastera sahaja tetapi menyentuh tentang nilai dan pegangan yang diamalkan dalam semua aspek kehidupan masyarakat.

Pantun

Pantun merupakan puisi Melayu Tradisional yang paling popular didasarkan penggunaannya yang paling meluas. Pendeta Za’ba dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu III mengatakan bahawa pantun ialah karangan berangkap yang menjadi milik bangsa Melayu dan mempunyai semangat Melayu. Pantun menjadi wadah bagi orang Melayu dalam menggambarkan pencapaian kognitif atau fikiran, falsafah, sikap dan perasaan mereka. Ini mencakupi perasaan hiba, suka, duka, sindir, giat, berkasih sayang, pujuk cumbu dan sebagainya.

Contoh pantun budi bahasa seperti di bawah ini:

Limau manis dimakan manis
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Manis sekali hati budinya

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja  di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia  kerana tidak berbudi

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Sumber rujukan: siri buku budaya

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking