Rabu 19 December 2018
A- A A+

Aktiviti penterjemahan boleh tingkat keupayaan Bahasa Melayu

 belajar

Dalam korpus perancangan bahasa Melayu di Negara kita, aktiviti penterjemahan buku merupakan salah satu strategi perancangan perkembangan bahasa. Oleh itu aktiviti menterjemah buku dalam bahasa asing ke bahasa Melayu perlu disemarakkan semula. Prakarsa ini bukan sahaja dapat mengembangkan atau memperbanyak ilmu yang boleh diterokai oleh pembaca dalam bahasa Melayu, malahan dapat memberi nilai tambah atau status yang tinggi kepada keupayaan bahasa Melayu dalam membicarakan pelbagai bidang ilmu. Inisiatif menterjemahkan buku daripada bahasa asing kepada bahasa Melayu akan dapat menambah kepelbagaian kosa kata dalam bahasa kita. Usaha ini sebenarnya secara tidak langsung akan mengiatkan proses pembentukan kata baharu yang bersesuaian dengan bidang dan ilmu yang diperkatakan.

Lahirnya kepelbagaian kata baharu menggambarkan bahawa bahasa Melayu ialah suatu bahasa yang dinamik dan boleh disesuaikan dengan pelbagai bidang ilmu. Kemampuan bahasa Melayu memperkatakan pelbagai bidang ilmu akan menjamin keterusan, kewujudan dan kesinambungan bahasa kita dalam arus globalisasi. Melalui prakarsa penterjemahan ini juga, akan memberi keyakinan dan kepercayaan kepada semua golongan pembaca bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai wahana untuk mengakses serta memperoleh pelbagai maklumat . Keyakinan dan kepercayaan ini akan dapat membina dan menyediakan landasan kukuh kearah memartabatkan bahasa kita baik di peringkat glokal mahupun di peringkat global.

Kita perlu meninjau sejenak kejayaan bangsa Jepun, Korea dan China meletakkan Negara masing-masing di kemuncak kegemilangan ekonomi dunia tanpa menggores serta mengabaikan kepentingan bahasa masing-masing. Naga Asia ini tidak pernah menjadikan mana-mana bahasa asing atau bahasa Inggeris sebagai wahana untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi Negara mereka, sebaliknya tetap megah menggunakan bahasa mereka. Negara-negara ini hanya mempelajari bahasa Inggeris atau bahasa asing hanya untuk menimba ilmu dan meniru teknologi Negara asing untuk kepentingan pembangunan ekonomi masing-masing. Salah satu prakarsa mereka ialah menterjemahkan ilmu atau teknologi Negara asing dalam bahasa mereka. Ternyata usaha tersebut bukan sahaja berjaya membangunkan ekonomi negara masing-masing, malahan dapat memartabatkan budaya, tamadun dan bahasa mereka.

Oleh itu tidak salah kita belajar bahasa asing kemudian menggunakan ilmu tersebut untuk meningkatkan serta mengekalkan kesinambungan bangsa, tamadun dan bahasa kita. Kita mestilah yakin dengan tahap kemampuan bahasa kita untuk terus memartabatkannya walaupun kita berada dalam zaman yang semakin mencabar. Keyakinan kita berlandaskan keupayaan bahasa kita mencipta tahap kegemilangan pada masa lampau yang diiktiraf sebagai bahasa lingua franca. Dalam hal ini kita perlu memperkukuh strategi supaya jangan sampai keris menikam tuan, yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. 

Sumber maklumat : Berita Harian

 

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking