Rabu 17 October 2018
A- A A+

43 INISIATIF BERKAITAN PENDIDIKAN DILAKSANA SEPANJANG 100 HARI KERAJAAN PH

 

Sebanyak 43 inisiatif berkaitan pendidikan telah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 100 hari mentadbir negara.Sebanyak 43 inisiatif berkaitan pendidikan telah dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 100 hari mentadbir negara, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. Beliau berkata sebahagian daripada inisiatif tersebut merupakan antara perkara yang dijanjikan di dalam manifesto PH seperti mengeluarkan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Dalam satu kenyataan di sini pada Ahad Maszlee berkata janji manifesto yang ditunaikan pada 8 Jun, iaitu dalam tempoh 30 hari pentadbiran kerajaan baharu itu menyaksikan seramai 429,945 peminjam dibantu. Selain itu, kementerian juga telah memulakan langkah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah boleh menangguhkan bayaran balik melalui sistem bayaran balik pinjaman fleksibel atau Income-Contigent Loan Repayment (ICLR), katanya.
 
Beliau berkata kementerian itu juga mengambil pendekatan lebih holistik dalam membina martabat sistem pendidikan termasuk memberi kuasa autonomi kepada institusi pengajian tinggi dan memberi kebebasan bersuara lebih luas kepada mahasiswa dengan menghidupkan semula sudut pidato.Maszlee berkata selaras dengan manifesto PH, kementerian itu juga telah memulakan langkah melakukan kajian inklusif untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melalui sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk, manakala Universiti Awam (UA) turut digalak menganjurkan lebih banyak perbahasan atau dialog dengan pihak-pihak berkepentingan bagi tujuan tersebut.
 
Usaha memperkasa pendidikan tinggi juga menyaksikan cadangan dan syor daripada pihak berkepentingan kini diterima dalam soal pelantikan ahli ahli lembaga pengurusan universiti dan calon-calon Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, katanya.Maszlee berkata fokus awal beliau di peringkat 100 hari menerajui kementerian pendidikan juga melibatkan usaha mengurangkan beban guru daripada tugas perkeranian; memperkasa sekolah kebangsaan dan pendidikan khas; memastikan murid tidak lagi menggalas beg yang berat; meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dengan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada tiga bahasa.

Beliau berkata bagi memastikan tugas guru berfokus tugasan hakiki, kementerian telah menghapuskan proses audit bagi Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) pada 7 Jun lepas, langkah permulaan ke arah mengurangkan beban kira-kira 500,000 guru seluruh negara.Maszlee berkata usaha lain yang dilakukan dalam tempoh 100 hari pertama mengetuai kemeterian juga meliputi beberapa inisiatif lain yang tidak termasuk di dalam manifesto PH, antaranya membentuk Jawatankuasa Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara untuk menyemak dasar dan operasi sistem pendidikan agar sesuai dengan zaman revolusi industri 4.0; melancarkan proses ke arah Kempen Dekad Membaca Kebangsaan serta menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Katanya usaha lain yang dibuat ialah melakukan siasatan dan semakan dalaman ke atas kontrak-kontrak yang bernilai besar seperti solar-hibrid genset di Sarawak dan pembekalan internet 1Bestarinet yang selama ini bermasalah selain mengambil tindakan penyelesaian bagi membolehkan Sekolah Seni Malaysia dibuka pada sesi 2019 sebagaimana disasarkan.
 
Dalam aspek kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Maszlee berkata kementerian melakukan kolaborasi bersama badan bukan kerajaan bagi menambah baik pendidikan khas dalam sistem pendidikan kebangsaan selain memberi perhatian dalam meningkatkan pencapaian akademik murid Orang Asli di seluruh negara untuk kepentingan kaum itu.Maszlee berkata institusi pendidikan agama dan tahfiz turut diperkasa dengan menambah baik program tahfiz, memulakan perbincangan dengan beberapa negara Timur Tengah untuk membolehkan pelajar sekolah agama meneruskan pengajian Islam dan Bahasa Arab di rantau berkenaan, menyediakan peruntukan RM30 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan menawarkan pakej latihan kepada guru-guru institusi tahfiz swasta bagi memastikan tenaga pengajar di tahfiz adalah yang terlatih.

Beliau berkata Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) juga akan diberi perhatian lebih khusus dengan langkah meletakkan pengawasan terus sekolah itu di bawah menteri dan timbalan menteri.Kementerian juga kini bersikap lebih terbuka menerima pandangan akar umbi di sekolah melalui inisiatif lawatan siri kasih sayang dalam meningkatkan dan menjayakan agenda pendidikan negara, katanya.
 
Sumber: Astroawani Online dan BERNAMA, 24 Ogos 2018.

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking