Rabu 17 October 2018
A- A A+

Bahasa Melayu Membina Jati Diri Melayu

 

Kehebatan bahasa Melayu terserlah apabila menjadi bahasa perhubungan di Nusantara, Asia Selatan dan Asia Tengah selain Indo-China. Kebangkitan kerajaan Melaka, Johor–Riau, Pahang, Terengganu dan Pattani meluaskan penguasaan bahasa Melayu dalam penulisan kitab-kitab, hikayat, syair, gurindam dan epik Melayu.

Bahasa Melayu juga digunakan dalam surat-surat antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing. Bahasa Melayu turut menjadi undang-undang seperti yang termaktub dalam Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka. Malah, Undang-undang Laut Pahang dan beberapa negeri lain menjadi petunjuk  bahasa Melayu menjadi rujukan interaksi maritim antarabangsa.

Sebenarnya, bahasa Melayu bukan sahaja mempunyai kehebatan dalam bentuk pengucapan atau penulisan sahaja, tetapi juga hebat dalam membina keteguhan jati diri Melayu dalam individu, masyarakat dan negaranya.

Entiti Melayu sebenarnya terletak di peringkat akar umbi bahasa itu sendiri seperti yang terjelma dalam bentuk peribahasa, pantun, syair, gurindam dan sebagainya. Entiti inilah yang menjadi asas kepada jati diri Melayu dan membezakan bangsa Melayu dengan bangsa lain.


Dalam hal ini, kekuatan bangsa Melayu dapat dilihat dalam permuafakatan, keteguhan dan keazaman yang kuat. Ada banyak contoh bahasa Melayu yang mengukuhkan aspek ini umpamanya;

Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.
Seikat seperti sirih,
Serumpun seperti serai.
Melompat sama patah,
Seciap seperti ayam.
Berat sama dipikul,
Ringan sama dijinjing.

Contoh lain ialah yang menggambarkan ikatan yang kukuh, umpamanya bahasa yang digunakan dalam teromba berikut:

Adat bersaudara, saudara dipertahankan
Adat berkampung, kampong dipertahankan
Adat bersuku, suku dipertahankan
Adat bernegeri,negeri dipertahankan

 

Justeru, sekiranya masyarakat Melayu mahu mempertahankan jati diri mereka dan penampilan sebagai suatu bangsa yang hebat, mereka haruslah kembali mendalami tradisi Melayu itu khususnya ilmu kebomohan, persilatan dan seni perang Melayu. Tujuannya bukanlah semata-mata berpusat kepada Melayu, tetapi kembali kepada tradisi yang menjadi kehebatan Melayu iti dari segi bahasa, sastera dan budayanya.


Sumber maklumat : Berita Harian

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking