Rabu 17 October 2018
A- A A+

Amaran kepada pelajar lelong baucar buku BB1M

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi amaran akan merampas Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) daripada pelajar yang cuba menyalahgunakan baucar berkenaan termasuk menjualnya dengan potongan harga tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya ada menerima aduan mengenai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tidak memanfaatkan BB1M bernilai RM200 untuk membeli buku ilmiah, sebaliknya menjualnya kepada pihak ketiga.

"Namun, agak sukar kita memantau kes seumpama ini kerana bilangan yang melakukan kesalahan terbabit adalah kecil berbanding 1.3 juta yang layak menerima insentif berkenaan. Bagaimanapun, jika dapat kesan mereka, kita akan rampas baucar kerana tidak dimanfaatkan untuk tujuan yang dimaksudkan." katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, baucar berkenaan dilengkapi ciri keselamatan seperti nombor siri, reka bentuk Guilloche cetakan terbalik serta menggunakan kertas keselamatan bagi mengelakkan disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Ditanya sama ada sebarang langkah pencegahan seperti mencetak nama pelajar pada baucar dapat mengekang perbuatan itu, beliau berkata ia sudah terlewat kerana baucar BB1M sudah diagihkan.

Pemberian baucar BB1M kepada semua penuntut warga negara di Tingkatan Enam, Matrikulasi, Asasi, Politeknik, IPTA dan IPTS, diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012. Tempoh sah laku bermula 1 Januari sehingga 31 Mac 2012 dan pelajar perlu membuat perancangan rapi bagi pembelian bahan rujukan seperti buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran yang penting mengikut keutamaan.

KPT dalam satu kenyataan sebelum ini, mengesyorkan pelajar yang layak menerima BB1M supaya berbincang dengan rakan lain untuk menyenaraikan bahan akademik diperlukan bagi mengelakkan pembelian bahan sama, sekali gus membolehkan pembelian lebih banyak bahan rujukan untuk dimanfaatkan bersama bagi tujuan pembelajaran.

Tenaga pengajar pula diminta memberi cadangan mengenai kesesuaian sesuatu bahan rujukan bagi memastikan bahan yang dibeli memberikan maklumat maksimum kepada pelajar.

Sementara itu, penerbit atau kedai buku yang terpilih di bawah skim BB1M disaran memberikan potongan harga bagi merancakkan pembelian, selain menarik minat pelajar menambah kuantiti dan mempelbagaikan jenis bahan rujukan yang boleh dibeli.

Kebijaksanaan pelajar memilih bahan rujukan akademik pada harga RM200 adalah penting bagi mengelakkan pembelian yang kurang menepati kehendak kursus atau pengajian yang mereka ikuti.

- BERITA HARIAN, 24 Januari 2012

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking