Rabu 17 October 2018
A- A A+

Pertingkat sistem pendidikan Negara

 

Pelaksanaan mantap dan tindakan pantas serta cepat terhadap perancangan yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) akan menjadi tunjang utama untuk melonjakkan sistem pendidikan negara.  Gerakan ini akan dilakukan secara besar-besaran bagi memastikan semua pihak terutama Timbalan Ketua Pengarah (TKP), Pengarah Bahagian di Kementerian Pendidikan, semua Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah dapat bersatu hati dan jiwa melaksanakan inisiatif yang sudah digariskan.

 

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof mengatakan penekanan terhadap pelaksanaan mantap akan memberikan tumpuan terhadap tiga perkara iaitu adanya pemantapan rapi, penekanan kepada fungsi pengawalan pengurus dan pelaksana serta penjajaran inisiatif  PPPM dengan KPI Menteri. Ketua Pengarah Pendidikan mengatakan tumpuan kedua adalah menekankan aspek fungsi pengawalan oleh setiap pengurus, pengarah dan pelaksana apabila setiap mereka mesti mempunyai kawalan penuh terhadap program dan inisiatif  yang telah dipertanggungjawabkan. Sementara itu tumpuan ketiga bagi memastikan setiap pencapaian dalam inisiatif dan program yang dirancang dalam PPPM sentiasa sejajar dengan sasaran yang disediakan.

 

Beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan sepanjang 2014 bagi memastikan kelangsungan  PPPM  termasuk melaksanakan  program turun padang supaya semua pihak terutama warga pendidik memahami perancangan dan perubahan yang akan dilakukan sekali gus memastikan transformasi berjalan lancar.

 

Dr Khair mengatakan kesungguhan kerajaan menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak di negara ini jelas melalui peruntukan Bajet 2014 apabila 21 peratus atau RM54 bilion daripada jumlah keseluruhan RM264 bilion bajet diperuntukkan kepada pendidikan. Sepanjang 2013 banyak program sudah dilaksanakan selain daripada program sedia ada malah ada inisiatif yang boleh diperluaskan lagi bagi memberi akses pendidikan berkualiti.

 

Sumber maklumat : Harian metro

 

 

 

 

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking