Rabu 17 October 2018
A- A A+

NKRA, GTP Martabat Profesion Pendidikan

 

prasekolah2

Prasekolah merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan pendidikan prasekolah bagi membolehkan kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun memasuki persekolahan lebih awal, terutamanya kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah.

 

BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Kerajaan (GTP) Pendidikan 2010 berjaya memartabatkan profesion pendidikan negara dengan memperoleh ranking kelapan dunia seperti dilaporkan majalah Newsweek.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud, antara kejayaan NKRA Pendidikan adalah melepasi sasaran 70 peratus kadar enrolmen murid prasekolah dengan mencapai 72.42 peratus di 315 prasekolah.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 1,500 prasekolah Kementerian Pelajaran (KPM) manakala sembilan prasekolah di rumah panjang di Sarawak serta pusat komuniti di Sabah yang beroperasi pertengahan Jun tahun lalu. Pada masa sama, 24,179 murid belajar di sekolah swasta daripada keluarga berpendapatan RM2,300 ke bawah layak menerima bantuan yuran RM150 sebulan.

Dengan ini boleh menggalakkan kanak-kanak berusia empat dan lima tahun di kawasan tiada prasekolah KPM, Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mengikuti pendidikan di prasekolah swasta.

Tahun ini 715 prasekolah KPM dijangka memulakan operasi, selain 1,000 prasekolah KEMAS, JPNIN (50) dan prasekolah swasta (1,000).

Aspirasi NKRA pendidikan ialah memberi penekanan kepada peningkatan pencapaian pelajar secara menyeluruh meliputi intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang melonjakkan imej sistem pendidikan negara. Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat penting dalam membangunkan modal insan cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya hasrat menjadi negara membangun menjelang 2020 tercapai.

Inspirasi NKRA turut memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dikecapi semua pihak bagi meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh. NKRA Pendidikan menetapkan dua fokus utama dijadikan asas kepada transformasi iaitu memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan asas berkualiti dan membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan.

Sehubungan itu, pendidikan prasekolah, penguasaan literasi dan numerasi pada Tahap Satu, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan memperkenalkan tawaran baru kepada Pengetua dan Guru Besar mampu meningkatkan kecemerlangan taksiran berasaskan pencapaian dijadikan sub bidang NKRA.

Selain dua fokus berkenaan, empat sub bidang NKRA meliputi peningkatan kadar enrolmen kanak-kanak berusia empat dan lima tahun menyertai pendidikan prasekolah.

Pelaksanaan itu adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak normal menguasai asas literasi dan numerasi selepas mengikuti tiga tahun pendidikan rendah.

Usaha diteruskan dengan membangunkan SBT dan menyediakan tawaran baru kepada pengetua dan guru besar berdasarkan penilaian berasaskan pencapaian.

Selain empat sub bidang NKRA ini, bidang utama lain juga dipertingkat bagi memastikan kelangsungan transformasi serta menghasilkan pencapaian seperti disasarkan. KPM sedang melaksanakan transformasi kurikulum bagi memastikan modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan dan keperluan negara untuk mencapai negara maju menjelang 2020.  Transformasi kurikulum memberi penekanan kepada aspek penguasaan bahasa khususnya bahasa Malaysia dan Inggeris tanpa meminggirkan bahasa ibunda masing-masing.

Dari sudut aspek Literasi dan Numerasi (LINUS) pula, pihak KPM menyasarkan 90 peratus pada 2010.

Saringan ketiga pula, menunjukkan prestasi murid meningkat 85 peratus berbanding 64 peratus pada saringan kedua, manakala kadar numerasi pula meningkat 91 peratus berbanding 73 peratus pada saringan kedua. Walaupun  sasaran murid menguasai literasi gagal mencapai sasaran, pencapaian setakat ini menjadi penanda aras menunjukkan sasaran pada 2012 mampu dicapai.

Mengulas sasaran SBT iaitu 20 pada 2010, 20 sekolah diberi pengiktirafan sebagai SBT berdasarkan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar.
Sejak memperoleh pengiktirafan itu, banyak kejayaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dicatatkan.

Kolej Tunku Kursiah, Seremban, Negeri Sembilan muncul naib juara kategori khas pada Pameran Kejuruteraan dan Sains Antarabangsa Intel (ISEF) di San Jose, Amerika Syarikat. Manakala Sekolah Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru pula memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Mathematics Olympiad.

Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur pula memenangi pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa termasuk dua perak pada temasya renang Sukan Sekolah ASEAN Kedua.

Satu emas diperoleh sekolah itu dan perak pada Sukan Pelajar Asia Tenggara. Pasukan sekolah turut mendapat emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya renang Terbuka Malaysia. Pelajar sekolah itu turut mewakili negara pada temasya renang Kejuaraan Renang Antarabangsa Jepun ke-51, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Selain pencapaian sekolah, guru besar yang layak menerima ganjaran perlu memenuhi kriteria seperti Laporan Nilaian Prestasi tahunan cemerlang, bebas sebarang tindakan tatatertib serta tiada audit bersyarat.

KPM memperkenalkan Program Pembangunan Prestasi Sekolah bagi membantu sekolah berprestasi rendah dalam Band Enam dan Tujuh. Biarpun ia bukan sub NKRA utama dalam NKRA Pendidikan tetapi berjaya dilaksanakan bagi memastikan sekolah terbabit dapat meningkatkan prestasi masing-masing

 

Disunting Daripada Berita Harian

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking