Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Profil Negeri Selangor

Selangor

national-zoobatu_caves

 

 

Zoo Negara (kiri) dan Batu Caves antara tempat kunjungan ramai di Selangor

Selangor terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan. Negeri yang terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa ini dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri daripada Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor. Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan singkatan, gabungan atau perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal.
Selangor mempunyai keluasan kira-kira 7,930.20 km2. Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan Klang merupakan Bandar Diraja. Negeri Selangor mempunyai 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri. Unjuran penduduknya pada tahun 2010 adalah seramai 5,102,600 orang iaitu yang paling ramai di Malaysia.
Selangor menawarkan destinasi pelancongan menarik seperti Taman Pertanian, Bukit Melawati, Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Batu Caves, Pulau Carey, Galeri Shah Alam, Bangunan Bersejarah Jugra, Tugu Keris Kampung Kuantan, Kota Darul Ehsan, Mines Wonderland, Pantai Morib, Bagan Lalang, Zoo Negara, Pusat Orang Asli Gombak, Pulau Ketam, Tasik Shah Alam, Stadium Shah Alam, Hutan Rekreasi Sungai Congkak, Sungai Gabai, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sunway Lagoon, Hutan Templer, Muzium Sultan Alam Shah, Muzium Orang Asli dan banyak lagi.

PENGASASAN KESULTANAN SELANGOR

Dengan ketibaan lima orang putera Opu Tendri Borong Daeng Rilekkek bin La Madusalat yang digelar Bugis Lima Bersaudara ke dalam kancah pemerintahan Johor-Riau, ia membawa perubahan drastik terhadap rupa dan perjalanan sosiopolitik Selangor.

Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi, mempunyai darah bangsawan serta memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelayaran dan taktik peperangan.

Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak tiba di Selangor sekitar 1730-an dan kemudiannya meneruskan pemerintahan Selangor selepas kemangkatan Raja Siti dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.


Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.

Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor (Kuala Selangor), Klang dan Linggi.


Sultan Sulaiman mengutus surat kepada Daeng Kemboja di Linggi, Raja Tua di Klang dan Raja Lumu di Kuala Selangor supaya mereka menerima perjanjian yang telah dibuat dengan Belanda. Ketiga-tiga pemerintah tidak mengiktiraf perjanjian itu.

Berikutan itu, Raja Lumu cuba mendapatkan pengiktirafan dari Kesultanan Perak bagi membebaskan Selangor dari sebarang tuntutan dari kerajaan Johor. Pada 1766, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Selangor oleh sultan Perak, Sultan Mahmud (atau Raja Kimas) di Kota Lumut dengan gelaran Sultan Salehuddin dan menamakan jajahan takluk pemerintahannya Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor oleh Sultan Perak dan bermulalah sejarah baru buat Selangor sebagai sebuah kerajaan berdaulat.


DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR

1. Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Yamtuan Muda  Daeng Chelak, 1766 -1782
2. Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin, 1782-1826

3. Almarhum Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, 1826-1857

4. Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah,1857-1898

5. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, 1898-1938

6. Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1938-1942 dan 1945-1960

7. Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1942-1945

8. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj, 1960-2001

9. Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 2001-kini
Sumber: Buku Malaysia 2009, Buku Rasmi Tahunan
Jabatan Penerangan Malaysia