Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim Kuala Lumpur

 

 

ISTANA NEGARA,JALAN TUANKU ABDUL HALIM KUALA LUMPUR

Istana Negara adalah tempat bersemayam rasmi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Terletak di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dan merupakan mercu tanda bagi sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan di Malaysia. Rekabina istana ini melibatkan aspek keselamatan dan ciri-ciri estetika khusus dengan penekanan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu pada bangunan dan sekitarnya. Istana Negara ini terletak di kawasan seluas 241.3 ekar (97.65 hektar).

Pentadbiran Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim ini telah mula beroperasi sepenuhnya semasa tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu pada 11 November 2011. Satu Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diadakan pada 15 November 2011 sebagai simbolik bahawasanya Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Halim ini telah secara rasminya menjadi Istana Negara di Malaysia.



KEUNIKAN BINAAN

Antara keunikan yang dapat dilihat pada Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya iaitu sebanyak 22 buah kesemuanya. Pada 2 kubah terbesar, terdapat reka bentuk seolah sirih bertindih di mana pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahayanya boleh bertukar warna mengikut acara rasmi yang berlangsung dan dapat dilihat dengan jelas daripada luar kawasan Istana Negara ini. Di dalam lobi Anjung utama, tetamu akan berada di bawah kubah utama setinggi 40 meter atau 10 tingkat bangunan. Ia juga menempatkan chandelier terbesar buatan tempatan yang dihasilkan di Kuala Selangor. Di sekeliling kubah yang disokong oleh tiang-tiang besar berbentuk bulat, terdapat lapan lukisan besar yang menonjolkan sejarah negara sejak zaman Kesultanan Melaka sehingga era sekarang yang menyaksikan Malaysia membangun dengan pesat.

Berbeza dengan Istana Negara di Jalan Istana yang agak sempit dengan keluasan 11.34 hektar, Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Halim ini lebih luas untuk membolehkan setiap Bilik dan Dewan dibina khas untuk fungsi khusus sahaja. Semua bilik dan dewan berkenaan memaparkan ukiran, lukisan dan hiasan dalaman tradisional Melayu. Ciri-ciri Islam yang dipaparkan dalam corak geometri tiga dimensi, ukiran kalimah Allah, lampu hiasan seperti yang banyak diguna ketika zaman kegemilangan kerajaan Islam juga turut diserlahkan terutama pada binaan surau. Tulisan ayat-ayat suci Al-Quran yang terpapar di sekeliling ruang dalaman dan bahagian Mihrab surau berkenaan dihasilkan oleh anak tempatan. Singgahsana yang menjadi tempat Bersemayam Seri Paduka Baginda di Balairong Seri Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Halim ini menonjolkan ukiran tradisional Melayu serta tulisan khat 99 Nama Allah dan ayat-ayat suci Al-Quran.Ukiran berkenaan dihasilkan oleh beberapa pengukir terkenal dari Terengganu dan Kelantan yang diakui sejak zaman-berzaman mempunyai hasil kerja bermutu tinggi.

Selain keunikan segi ukiran, lukisan dan hiasan dalaman yang dihasilkan dengan tangan sepenuhnya, keistimewaan lain yang terdapat pada Istana Negara ini adalah suasana alam semula jadi di sekelilingnya. Ini berikutan hanya sekitar 65 hektar sahaja keluasan yang digunakan bagi pembinaan bangunan manakala kawasan selebihnya dikekalkan sebagai taman dan zon penampan dari sekitaran luar. Persekitaran Istana Negara juga diperindahkan dengan sulaman lanskap lembut.