Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

16 Mei - Tanggungjawab Besar Menanti EXCO Baharu

PEKAN: Muka baharu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) berjanji akan menggalas amanah yang diberikan dengan baik seterusnya membantu memantapkan pentadbiran kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Abdul Rahim Muda berkata, pemilihannya sebagai Exco adalah amanat dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah serta dedikasi bagi memastikan nasib rakyat sentiasa terbela. Beliau yang terkejut dengan pelantikan ini berkata, pihaknya berjanji akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dengan pengalaman rakan EXCO yang lain. Dalam landskap politik yang tidak memihak kepada BN, beliau yakin kerajaan negeri dapat melakukan yang terbaik demi kemajuan rakyat di negeri ini. Buat masa ini, beliau belum dimaklumkan mengenai portfolio yang bakal dipegang, katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Pahang dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar. Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah. Pada majlis itu, turut dilantik adalah lapan EXCO yang berperanan menjalankan tugas rasmi berkaitan kerajaan negeri selain membantu Menteri Besar.

Mereka terdiri daripada ADUN Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, ADUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Samsuddin, ADUN Kerdau, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, ADUN Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, ADUN Tioman, Datuk SeriMohd Johari Hussain, ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah dan ADUN Bebar, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Ariff. Abdul Rahim turut bersyukur dan menjunjung kasih kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melantiknya sebagai EXCO walaupun kali pertama bertanding sebagai calon pada pilihan raya lalu. Sementara itu, ADUN Bebar, Datuk Fakhruddin Mohd Arif berkata, beliau dimaklumkan pelantikan itu pagi tadi dan menerima amanah yang diberikan. Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Pekan itu berkata, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh bersama kerajaan negeri bagi membangunkan negeri ini.Sementara itu, ADUN Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

Berita Disunting Daripada Berita Harian