Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

16 April - Gagal beraksi, Kuantan FA berdepan hukuman berat


KUALA LUMPUR: Apakah nasib bakal menimpa Kuantan FA selepas kelab itu gagal muncul pada saingan Liga Perdana menentang pasukan PDRM di Stadium Shah Alam malam tadi?

Seperti dijangka, pasukan itu kemungkinan berdepan 'ditendang keluar' daripada saingan musim ini. Berdasarkan kenyataan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mereka memandang serius perkara itu dan bersedia mengenakan hukuman berat dengan membatalkan penyertaan pasukan terbabit.

"Sekretariat MFL akan memajukan perkara ini kepada Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Kuantan FA dan sudah pasti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga akan memberi hukuman yang setimpal terhadap mereka.

"Hukuman yang sewajarnya bakal menyusul bukan setakat kepada pasukan terbabit malah kepada individu yang terbabit bagi memastikan mereka tidak menceburkan diri dalam bola sepak tempatan lagi," kata MFL, malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai masalah tunggakan gaji selama tiga bulan yang dihadapi pasukan itu sekali gus menjadi punca pemain tidak mahu beraksi, MFL menegaskan pihaknya sudah berlaku adil kepada pemain dan juga pegawai apabila membayar gaji sebulan menerusi geran pasukan bagi musim ini.

"Bantuan ini diberikan dengan harapan ia dapat memberi peluang kepada pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah ini dan terus mengharungi liga.

"MFL turut menerima banyak jaminan di mana mereka akan menyelesaikan semua masalah dengan penajaan baru yang akan masuk. Namun, ia tetap gagal dan satu keputusan harus dimuktamadkan," katanya.

Terdahulu, aksi Liga Perdana membabitkan PDRM dan Kuantan FA yang sepatutnya berlangsung di Stadium Shah Alam dibatalkan susulan kegagalan pemain skuad The Seagulls itu untuk hadir ke stadium sehingga perlawanan dimulakan. Insiden itu menyaksikan pengadil mengesahkan perlawanan tidak dapat dilangsungkan tepat jam 9 malam dan PDRM diberi kemenangan 3-0 sekali gus meraih tiga mata percuma.

Pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria mengesahkan masalah tunggakan gaji yang dialami menjadi punca pemainnya menolak untuk turun ke padang pada perlawanan bertemu skuad bimbingan Zulhamizan Zakaria itu. Ismail turut menjelaskan betapa beliau sudah tidak mampu berbuat apa-apa selepas pasukan berkenaan dipercayai sepakat enggan beraksi pada perlawanan ketujuh Liga Perdana itu.

Berita disunting daripada Berita Harian