Ahad 18 November 2018
A- A A+

Arkib Berita

13 Mac - 'Tun M Cari Jalan Mudah'

KUALA LUMPUR: Cengkaman akar umbi yang lemah terutama dalam kalangan orang Melayu, didakwa membuatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu bertanding menggunakan lambang DAP.

Ia berikutan PPBM mungkin tidak dibenarkan menggunakan logo sendiri kerana masalah kesahihan mesyuarat agung parti yang belum selesai. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pasti bertanding menggunakan lambang DAP. Tiada usaha konkrit daripada pengurusan PPBM untuk menyelesaikan masalah dihadapi kecuali berulang kali menjadikan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebagai 'kambing hitam'. Dr Mahathir perlu memberi penjelasan sama ada benar pihak pengurusan parti itu sengaja membuat masalah dengan ROS sebagai alasan bertanding atas tiket DAP. Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, menegaskan PPBM mempunyai kira-kira 20 hari untuk menyerahkan maklumat dan dokumen berkaitan minit mesyuarat semua peringkatnya bersama penyata kewangan parti itu kepada ROS. Langkah itu bagi mengelak parti berkenaan berdepan risiko dibubarkan mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966. Dengan perkembangan itu, PPBM mungkin bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) atas tiket parti lain dalam Pakatan Harapan (PH). Mesyuarat PH bulan lalu memutuskan keempat-empat parti sekutu gabungan itu akan bertanding menggunakan satu logo atau simbol pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Mohd Puad mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz tidak yakin bertanding atas logo PPBM kerana garapan lemah parti berkenaan dalam meraih sokongan orang Melayu. Ini terbukti apabila PPBM gagal mengadakan mesyuarat cawangan dan bahagian kerana tidak cukup ahli untuk mengadakannya. Itu punca PPBM gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan dan tidak mungkin PPBM mampu mengadakannya semula dalam tempoh singkat ini.

Berita Disunting Daripada Berita Harian

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking