Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

10 Ogos - Sindiket jenayah terancang tumpas

sindiket jenayah

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan 18 kumpulan sindiket dan menahan 63 suspek jenayah terancang di sekitar bandar raya ini dalam tempoh tiga bulan sejak Mei lalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata sindiket pecah rumah adalah yang terbanyak dengan lapan kumpulan membabitkan 32 tangkapan, diikuti sindiket curi kenderaan dan jenayah jalanan atau samun dengan masing-masing lima kumpulan membabitkan 31 tangkapan.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil strategi operasi berkesan dilaksanakan dalam usaha menurunkan kes jenayah di bandar raya ini yang menunjukkan peningkatan 17 peratus, Mei lalu.

Tambahnya, kes jenayah di bandar raya ini turun 14 peratus setakat semalam dan pihaknya yakin ia akan terus menurun.

Dalam tempoh tiga bulan sejak Mei lalu, pihaknya berjaya menyelesaikan 429 daripada 780 kes iaitu melebihi kadar 50 peratus.

Beliau berkata kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Pada majlis itu, Chandra turut menerima sumbangan lima basikal untuk kegunaan pemantauan polis di sekitar bandar raya ini daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah DBKK, Bahari Hassan.

Sementara itu, Chandra berkata, polis masih menyiasat kemungkinan wujud unsur provokasi dalam kes pukul membabitkan ketua editor sebuah akhbar tempatan di sini, 5 Ogos lalu.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian iaitu di sebuah stesen minyak di Luyang, serangan terhadap mangsa adalah benar, namun ada unsur provokasi sebelum kejadian.

Katanya, suspek lelaki berumur 30-an itu belum dapat dikesan dan polis meminta individu terbabit tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi pada 5 Ogos lalu, mangsa mendakwa dipukul dengan topi keledar ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Luyang, di sini menyebabkannya cedera di muka dan pengsan.

Berita Disunting Daripada Berita Harian