Ahad 19 August 2018
A- A A+

Arkib Berita

Jaundis dan Risikonya

Ibu bapa diingatkan bahawa jaundis yang teruk boleh menjejaskan otak dan merosakkan otak bayi. Ia berlaku khususnya kepada bayi yang mempunyai sel darah merah yang abnormal, kekurangan G6PD dan Rhesus yang tidak sesuai dengan ibunya. Keadaan ini menyebabkan paras bilirubin menjadi sangat tinggi di dalam darah. Apa yang tidak diketahui sehingga ini ialah sama ada kerosakan otak akan berlaku juga pada bayi yang mempunyai sel darah merah yang normal.

Terdapat bukti-bukti saintifik menunjukkan jaundis jarang berlaku pada bayi yang mempunyai sel darah merah yang normal. Kebaikan paras bilirubin rendah mahupun ringan tidak dapat dipastikan tetapi sesuatu yang pasti, bilirubin mempunyai agen anti- oksidan namun kepentingannya tidak diketahui. Apa yang diketahui ialah paras bilirubin yang rendah tidak memudaratkan bayi. Majoriti bayi yang menghidapi jaundis yang teruk membesar menjadi kanak-kanak yang normal.

Bagaimanapun hanya segelintir yang menghadapi jaundis teruk semasa episod jaundis dan terdapat tanda penyakit itu, mempunyai risiko menghidapi cerebral palsy atau palsi serebrum dan pekak. Tanda-tanda penyakit palsi ini mungkin tiada sehinggalah bayi membesar dan berkembang.

Bayi perlu menjalani pemeriksaan dengan tekal oleh pakar pediatrik bagi mencari bukti kehadiran palsi serebrum. Biasanya pemeriksaan perlu dijalankan dua hingga empat kali setahun untuk tempoh dua tahun pertama. Bayi yang menghidap jaundis biasanya mengalami najis berwarna kekuningan atau kehijauan. Najis berwarna pucat di kalangan bayi itu memberi isyarat penting bagi anda untuk membawanya berjumpa doktor untuk rawatan seterusnya.

Najis berwarna pucat bermakna terdapat penyekatan saluran hempedu di antara hati dan usus kecil. Jaundis biasanya tidak memudaratkan namun jangan diambil mudah. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapat rawatan segera bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking