Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Manifesto JOM realistik, mesra orang muda

Terjawab sudah semua teka-teki perihal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan pembubaran Parlimen pada Jumaat lalu serta pengeluaran writ dan notis pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) empat hari selepas itu.

Malaysia sekali lagi bakal menyaksikan pesta demokrasi lima tahun sekali buat kali ke-14, semua parti bersedia dengan segala macam strategi, perancangan, pendekatan dan isu yang bakal diketengahkan sepanjang menuju hari mengundi kelak.

Seperti biasa, manifesto menjadi topik utama perbualan menjelang PRU, baik dalam kalangan ahli politik, mahupun rakyat biasa.

Manifesto selalunya merujuk kepada pernyataan, janji atau deklarasi secara bertulis yang digunakan seseorang atau parti politik ketika kempen pilihan raya, selalunya dirangka rapi bagi mendapat perhatian, simpati dan sokongan pengundi.

Justeru, selain mengetengahkan calon berwibawa dan boleh menang, manifesto boleh dianggap sebagai pelengkap kepada kesiapsiagaan parti politik dalam menghadapi setiap pilihan raya.

Manifesto yang baik akan membangkitkan rasa keinginan dalam kalangan pengundi untuk memilih sesebuah parti politik dan wakil rakyat mereka.

Bukan itu sahaja, manifesto juga menjadi kayu ukur prestasi dalam menilai kemampuan wakil rakyat dan parti politik, sama ada mampu atau tidak memenuhi apa yang telah dijanjikan.

Menariknya pada PRU-14 ini, manifesto dikemukakan parti bertanding menyaksikan hampir setiap segmen dalam masyarakat diambil kira berbanding PRU sebelum ini yang kelihatan lebih umum dan bersifat generik.

Manifesto prihatin suara Gen Y

Paling menyerlah sudah tentu tawaran kepada generasi muda yang menjadi sasaran utama parti politik dalam manifesto mereka.

Ia berikutan kumpulan itu membentuk 60 peratus pemilih muda atau yang berusia antara 21 hingga 39 tahun daripada keseluruhan 14,622,640 pengundi berdaftar.

Oleh yang demikian, atas pertimbangan inilah, maka manifesto parti politik kali ini agak 'mesra orang muda'. Persoalannya, sejauh mana parti politik benar-benar mesra orang muda.

Adakah tawaran dalam manifesto mereka benar-benar memenuhi kehendak dan aspirasi orang muda masa kini serta benar-benar realistik dari sudut pendekatan dan pelaksanaannya.

Selepas meneliti, BN dilihat lebih terkehadapan dalam menjuarai orang muda menerusi manifesto yang ditawarkan.

Ada empat faktor menjadikan Jaminan Orang Muda (JOM) BN menarik, inklusif dan realistik sebagai sebuah manifesto.

Pertama, manifesto ini disandarkan dengan dasar dan pelan jangka panjang kerajaan menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Kedua, strategi pendidikan dan latihan menerusi elemen Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kursus Terbuka atas Talian Secara Besar-Besaran (MOOC) serta keusahawanan dalam meningkatkan kebolehpasaran baik pada peringkat domestik, serantau, mahupun antarabangsa.

Ketiga, menjadikan setiap perancangan dan program orang muda selari dengan era Revolusi Industri 4.0.

Keempat, kepemimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Kementerian Belia dan Sukan dengan rekod cemerlang dan keperibadiannya yang mesra dan tiada protokol, memang disenangi generasi muda.

Malah Ketua Pemuda BN dan UMNO itu juga antara ikon ikutan orang muda yang paling popular di Malaysia.

Peluang generasi muda maju

Dengan menjadikan TN50 dan Revolusi Industri 4.0 sebagai asas jangka pendek dan jangka panjang BN terhadap orang muda, ia bakal membuka luas medan dan dimensi buat orang muda melakar masa hadapan lebih baik.

Wujud satu jaminan bahawa dasar Kerajaan BN selepas ini adalah atas aspirasi dan kehendak orang muda sendiri. Kerajaan sekadar menjadi penjaga dan perintis kepada orang muda untuk terus meneroka dan maju ke hadapan.

Malah, kerajaan nanti hanya bertindak sebagai pemudah cara dengan membangun dan menambah baik infra khusus serta memberi ruang dan peluang peningkatan kemahiran yang diperlukan kelompok orang muda dengan seluas-luasnya.

Hebatnya juga jaminan yang ditawarkan BN kali ini ialah apabila bukan sahaja merangkumi aspek makro dan jangka panjang buat orang muda, malah turut menawarkan aspek mikro yang bersifat jangka pendek dan sederhana yang dilihat bakal memperkasakan orang muda.

Antaranya, jaminan tawaran seperti akses kepada kemudahan memiliki rumah pertama, perluasan dan penambahan skim rumah mampu milik dan rumah transit, bantuan orang muda melangsungkan perkahwinan serta menyediakan dana ADAM50 untuk setiap kelahiran bayi.

Selain itu, jaminan kos klinik yang lebih baik, jaminan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan serta waktu kerja fleksibel, terutama bagi wanita serta TVET Bootcamp.

BN juga memberi jaminan meluaskan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun kepada peningkatan dan kerjaya orang muda melalui program Apprenticeship Malaysia, Skim Rentas Kerjaya serta penubuhan dana khas bagi memangkin pekerjaan sebagai usahawan sosial.

Tambahan pula, perluasan Youth Entrepreneur Network (YEN) sebagai portal sehenti yang menyelaras semua perkhidmatan, maklumat, peluang dan bantuan untuk usahawan muda akan memangkin semua yang dirancang.

Sudah tentu, inisiatif itu bakal membuka kepada penerokaan dan inovasi baharu dalam bidang keusahawanan maya yang dilihat sesuai dengan gaya, kehendak dan aspirasi orang muda masa kini.

Bela generasi muda terpinggir

Faktor tambahan yang agak memberangsangkan dalam tawaran BN kali ini sudah tentu apabila berani menawarkan peluang kepada generasi muda terpinggir seperti bekas tahanan, bekas penagih dadah dan wanita terlanjur agar kembali memainkan peranan dalam masyarakat.

Tawaran latihan TVET dan penubuhan Tabung Peluang Kedua kepada golongan yang sering dipandang sepi ini membuktikan BN benar-benar cakna dan tidak memilih.

Seingat semua, mungkin belum pernah lagi ada mana-mana parti yang secara berani dan inklusif memasukkan tawaran sebegini kepada golongan terpinggir dan jarang dipedulikan.

Jelas intipati Manifesto BN untuk orang muda kali ini berpaksi kepada prinsip 'ada peluang untuk semua' menerusi konsep 'tiada siapa akan ketinggalan.

Yang paling penting, BN menerusi Manifesto JOM, mempersiapkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan mandiri yang akan membawa Malaysia ke arah pencapaian TN50.

Penulis adalah Oleh Mujibu Abd Muis, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Seremban