Sabtu 18 August 2018
A- A A+

Manfaat DFTZ majukan PKS tempatan

Oleh Prof Madya Dr Noor Azuddin Yakob

PERKEMBANGAN pesat perdagangan dalam talian atau lebih dikenali sebagai e-dagang membawa banyak perubahan terhadap landskap perniagaan pada masa kini. Pengalaman membeli-belah amat berbeza sekarang ini dengan pengguna didedahkan kepada pelbagai pilihan produk dan perkhidmatan, semuanya di depan mata dan di hujung jari sahaja.

Kemajuan teknologi internet memungkinkan perdagangan melangkaui sempadan menjadi begitu mudah. Bukan sahaja pengguna mampu mendapatkan produk dan perkhidmatan dari luar negara dengan senang, usahawan tempatan juga turut berpeluang untuk melebarkan pasaran pada persada antarabangsa.

Usaha kerajaan untuk menggalakkan usahawan tempatan menceburi bidang e-dagang ini juga semakin membuahkan hasil. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hampir 59,000 perniagaan dalam talian sudah mendaftar.

Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan e-dagang menyumbang sebanyak 6.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2016 dan dijangka akan terus meningkat pada masa akan datang.

Kerajaan Malaysia turut menyasarkan pertumbuhan e-dagang sebanyak 21 peratus menjelang 2020. Melalui beberapa inisiatif yang diperkenalkan selari dengan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan Malaysia (NeSR), e-dagang dijangka menyumbang sebanyak RM211 billion kepada KDNK menjelang 2020.

Tidak dapat dinafikan lagi, ekonomi digital menguasai dunia perdagangan dan bakal mendominasi ekonomi negara pada era Revolusi Perindustrian 4.0. Usahawan tempatan perlu sedar akan peluang serta cabaran yang sedang mereka hadapi agar mereka dapat menjadi lebih berdaya saing.

Peluang bagi PKS tempatan

Menyedari potensi e-dagang dalam era ekonomi digital ini, kerajaan Malaysia memberi penekanan khusus terhadap kemajuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk lebih 90 peratus entiti perniagaan di Malaysia.

Ini memandangkan jumlah eksport yang dicatatkan oleh PKS tempatan masih berada pada tahap rendah, sedangkan PKS ialah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Nilai eksport PKS tempatan cuma 18 peratus daripada jumlah eksport negara, manakala selebihnya disumbang oleh syarikat besar dan multinasional.

Langkah mewujudkan zon dagangan bebas digital (DFTZ) ialah satu inisiatif positif yang menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membantu meningkatkan eksport oleh usahawan dan PKS tempatan.

DFTZ menyediakan satu ekosistem yang menyokong serta melancarkan aktiviti e-dagang merentasi sempadan.

DFTZ ialah ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang disokong oleh Jack Ma, pengasas Kumpulan Alibaba. Kewujudan DFTZ ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab logistik e-dagang serantau yang menjadi pilihan jenama global untuk memasuki pasaran ASEAN.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi kerajaan yang diberi mandat untuk mempelopori transformasi ekonomi digital di Malaysia, dipertanggungjawab untuk membangunkan DFTZ yang merangkumi zon fizikal dan maya.

Sehingga kini, hampir 2,000 PKS tempatan disenaraikan di DFTZ. Namun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan sebanyak 10,000 syarikat akan menyertai DFTZ menjelang akhir 2018.

Bagi memastikan lebih banyak PKS tempatan turut terbabit dalam DFTZ, pelbagai usaha diperkenalkan serta dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan. Sebagai contoh, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Negara (MATRADE) memperkenalkan program e-TRADE bagi menggalakkan PKS tempatan untuk meningkatkan eksport melalui platform ekonomi digital.

SME Corp turut memainkan peranan aktif dalam mempromosikan DFTZ. Sebagai agensi yang diamanahkan untuk mendukungi tiga program utama yang digariskan dalam NeSR, SME Corp, bersama-sama dengan MATRADE dan MDEC, mengadakan beberapa bengkel penerangan mengenai potensi DFTZ kepada PKS tempatan di seluruh negara.

Cabaran era ekonomi digital

DFTZ membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan tempatan khususnya PKS untuk melebarkan perniagaan ke pasaran antarabangsa. Namun, pada masa yang sama ia turut mendedahkan mereka kepada pesaing dari luar negara kerana melalui e-dagang, pengguna tempatan turut mempunyai pilihan yang pelbagai sekarang ini.

Bagi memastikan PKS tempatan bersedia untuk bersaing di pasaran terbuka, inisiatif utama yang harus diberi perhatian ialah terhadap kualiti produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengguna sekarang semakin bijak dalam membuat pilihan dan PKS tempatan harus menitikberatkan aspek nilai bagi wang yang dibelanjakan.

Penjenamaan yang berkesan juga amat penting bagi menarik perhatian serta memudahkan pelanggan mengenal serta mengingati produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

PKS tempatan perlu bersedia untuk melaburkan wang untuk tujuan pengiklanan bagi meningkatkan kesetiaan pelanggan di dalam dan luar negara. Penggunaan media sosial bukan lagi satu pilihan, malah menjadi satu kemestian sekarang ini.

PKS juga harus bersedia untuk mengubah model perniagaan yang berteraskan B2C (perniagaan-kepada-pelanggan) kepada B2B (perniagaan-kepada-perniagaan). Dalam konteks ini, PKS tempatan perlu memperkasa perniagaan masing-masing agar mampu meningkatkan produktiviti untuk memenuhi permintaan dari seluruh dunia.

Kekangan modal tidak boleh lagi dijadikan alasan kerana ada pelbagai agensi kerajaan serta institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pembiayaan bagi memenuhi keperluan PKS tempatan.

Yang penting ialah kesediaan usahawan sendiri untuk menyahut cabaran selaras dengan usaha kerajaan untuk memajukan PKS tempatan.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS-UKM (UKM-CESMED)


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking