Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Malaysia, China rakan kongsi komprehensif

SAMBUTAN Tahun Baharu Cina semakin menghampiri penghujungnya selepas perayaan Cap Goh Meh berakhir pada 2 Mac lalu.

Sebagai Duta Besar China yang baru bertugas di negara ini, saya berasa syukur kerana berpeluang merayakan Tahun Baharu Cina di Malaysia buat kali pertama bersama rakan dalam kalangan rakyat tempatan.

Pengalaman ini memberi saya ingatan manis dan banyak buah fikiran. Cuti Tahun Baharu Cina di Malaysia hanya tiga hari, namun majlis perayaan berterusan sepanjang hampir dua bulan.

Mungkin kerana saya masih baru di Malaysia, ramai rakan menjemput menghadiri jamuan sambutan Tahun Baharu Cina. Pada saya, sambutan perayaan ini di Malaysia memang yang paling panjang di dunia, suasananya juga sangat meriah.

Kita boleh nampak tanglung dan riben di merata-rata tempat, semuanya gembira meraikan perayaan, pusat beli-belah di Kuala Lumpur dihiasi elemen Cina, muzik tradisional Cina dimainkan dengan lunaknya.

Saya juga mendapati sesetengah pelajar sekolah menengah menulis skrol Tahun Baharu Cina, malah melihat seorang warga emas Melayu dengan cucunya menikmati persembahan tulisan dan membeli serangkap skrol pada akhirnya.

Pemacu kestabilan, pembangunan

Tahun Baharu Cina ialah salah satu perayaan penting di Malaysia. Dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan menteri Kabinet sehingga nelayan di Bagan Datuk di Perak, pekebun di Sembrong, Johor serta rakyat di Jenjarom, Selangor, semua bersama meraikan perayaan ini.

Semua rakyat bersama-sama menggaul 'yee sang', saling mengucap selamat dan mendoakan Malaysia maju serta sejahtera pada tahun akan datang. Tahun Baharu Cina bukan sahaja perayaan untuk orang Cina, tetapi untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan di mana mereka berada.

Memakai baju merah menjadi kebiasaan, menghadiahkan ang pau dan ucapan Gong Xi Fa Cai antara satu sama lain juga lumrah. Persembahan tarian naga, tarian singa dan Gendang 24 Perayaan menjadikan suasana lagi meriah.

Pada setiap majlis perayaan Tahun Baharu Cina yang saya hadiri, dapat dilihat rakyat pelbagai kaum berhimpun. Saya berasa terharu dengan rasa cinta kaum Cina di negara ini kepada budaya tradisional Tionghua dan kagum dengan sikap toleransi, harmoni serta kepelbagaian masyarakat tempatan. Itulah asas serta pemacu untuk mengekalkan kestabilan dan mencapai pembangunan Malaysia.

Kepentingan pengangkutan awam

Dalam kebudayaan Tionghua, keluarga amat diutamakan. Tahun Baharu Cina dianggap sebagai satu perayaan terpenting untuk mereka yang di luar, pulang ke kampung dan berhimpun dengan keluarga.

Menjelang Tahun Baharu Cina, ramai yang bekerja di luar balik kampung tanpa mengira kesusahan seperti menempuh perjalanan panjang, kesejukan melampau, kekurangan tiket dan lain-lain.Oleh sebab populasi yang amat besar di China, keadaan pengangkutan dalam tempoh perayaan ini dinamakan 'Chun Yun' atau pengangkutan Tahun Baharu Cina, iaitu penghijrahan tahunan berskala terbesar di dunia.

Dalam 40 tahun pelaksanaan Dasar Pembaharuan dan Pintu Terbuka, perjalanan orang China untuk balik kampung semakin mudah dan lancar kerana pembangunan pengangkutan awam dan kemudahan prasarana.

Dalam rekod NHK pada 2009, ada ramai orang China tidur di stesen kereta api dan lorong kabin untuk menjimatkan kos tiket serta melalui pintu daftar masuk yang penuh sesak. Cara pengangkutan untuk balik kampung beransur-ansur dipelbagaikan seperti dipaparkan dalam dokumentari BBC pada 2016, yakni terdapat kereta api, kapal terbang serta motosikal.

Selain itu, pintu daftar masuk di stesen kereta api juga tiada kesesakan macam dulu lagi. Filem Lost on Journey yang menceritakan kisah luar biasa perjalanan balik kampung pada 2010 digemari ramai, namun kini rakyat China lebih suka dengan berita duit syiling dapat berdiri tegak selama sembilan minit di kabin kereta api berkelajuan tinggi serta projek pembaharuan Stesen Kereta Api Longyan di Provinsi Fujian yang mengambil masa sembilan jam sahaja.

Dalam tempoh 'Chun Yun' tahun ini, jumlah penumpang mencecah 2.98 bilion, termasuk 390 juta penumpang kereta api. Perkembangan jaringan rel berkelajuan tinggi (HSR) memendekkan lagi perjalanan balik kampung, teknologi pengecaman wajah, aplikasi Wechat serta Alipay dan sebagainya turut memudahkan lagi perjalanan orang ramai.

Rel Antara bandar raya Beijing-Tianjin yang mula beroperasi pada Ogos 2008 adalah HSR pertama China yang turut memiliki hak harta intelektual ke atasnya. Sejak itu sehingga 2017, jumlah perbatuan HSR di China sudah mencecah 25,000 kilometer (km), iaitu 66.3 peratus daripada jumlah HSR di seluruh dunia dan jumlah penumpang mencapai tujuh bilion, yakni hampir dengan jumlah penduduk seluruh dunia.

Penduduk China dapat menumpang 'EMU Fuxing' yang berkelajuan 350km/jam untuk tiba di kampung dalam tempoh beberapa jam sahaja. Ketika saya baru mula bekerja di Beijing pada 1993, saya sentiasa pulang ke kampung di Bandar Xi'an, Wilayah Shanxi dengan menaiki kereta api yang mengambil masa perjalanan 14 jam walaupun kereta api itu dinamakan 'K' atau 'Kuai' dalam bahasa China yang bermaksud laju.

Namun kini, kereta api berkelajuan tinggi dari Beijing ke Xi'an sudah mula beroperasi dengan waktu perjalanan untuk tiba di destinasi hanya lima jam. China telah mengumpul cukup banyak data dan pengalaman dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi HSR kerana kami mempunyai wilayah yang luas dan keadaan geologi yang rumit.

Misalnya, Rel Kelajuan Tinggi Harbin-Dalian adalah HSR pertama di kawasan amat sejuk di dunia. Ia beroperasi di wilayah Timur Laut China di mana perbezaan suhu dirasakan sepanjang tahun. Rel Kelajuan Tinggi Bulatan Pulau Hainan, iaitu HSR yang pertama di kawasan tropika, lulus ujian taufan berkali-kali.

Pembinaan Rel Qinghai-Tibet pula mengatasi cabaran sukar seperti tanah dingin, kesejukan, kekurangan oksigen, kelemahan ekosistem dan lain-lain serta mencipta keajaiban dalam sejarah pembinaan rel kereta api. China memang 'pendatang baharu' dalam bidang pembinaan rel, namun dengan kerajinan dan kebijaksanaan, orang China telah 'mengimport', 'menyerap' sehingga 'mengeksport' teknologi rel kelajuan tinggi dan mencapai transformasi teknologi yang menonjol Kini, China telah menjadi negara yang mempunyai perbatuan pembinaan rel paling panjang, jumlah rel beroperasi paling banyak dan penumpang kereta api paling ramai di dunia.

Kerajaan Malaysia utamakan rakyat

Walaupun saya baru tiga bulan bekerja di negara ini, saya mendapati kerajaan Malaysia amat mementingkan peningkatan taraf pengangkutan awam dan menawarkan perkhidmatan yang lebih mudah serta lancar untuk rakyatnya. Inisiatif ini juga selaras dengan usaha kerajaan China.

Pada cuti Tahun Baharu Cina kali ini, saya telah menaiki MRT yang mempunyai kabin selesa dan perkhidmatan memuaskan. Selain itu, saya telah menempuh kesesakan jalan raya yang teruk dalam perjalanan ke Ipoh, merasai kesusahan orang ramai untuk pulang ke kampung.

Saya percaya bahawa perjalanan rakyat Malaysia untuk balik kampung akan semakin lancar dan pantas dengan pembinaan dan operasi projek seperti MRT 1, ETS Landasan Berkembar, RTS Johor Bahru-Singapura, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

China telah menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk HSR, Changing Life pada 2015, menampilkan kisah seorang pelajar Malaysia bernama Shafiq. Impian Shafiq ialah menjadi seorang diplomat dan kereta api berkelajuan tinggi membawanya melawat pelbagai tempat di China serta menikmati sejarah budaya dan adat resam yang berbeza.

Semoga suatu hari nanti, kereta api berkelajuan tinggi akan menyediakan kehidupan yang pantas dan lancar untuk lebih ramai rakyat Malaysia dan membantu mereka mengejar impian masing-masing.

Saya yakin Malaysia akan menguasai teknologi pembinaan HSR dan pengalaman operasi sistem pengangkutan berkenaan dalam kerjasama yang dijalin dengan China. Dengan kebijaksanaan rakyatnya, Malaysia pasti akan menjadi salah sebuah negara yang penting dalam bidang pembinaan HSR di seluruh dunia.

Pada Tahun Baharu Cina kali ini juga, rakyat China dan Malaysia menempuh impian yang sama, meredah perjalanan balik kampung dan menyertai perhimpunan keluarga. Impian ini mencerminkan harapan kita terhadap pembangunan negara masing-masing.

Kedua-dua kerajaan telah menggambarkan wawasan untuk pembangunan jangka panjang dan akan terus mengorak langkah ke hadapan untuk mencapai kemakmuran bangsa dan kemajuan negara.

Sebagai Rakan Strategik Komprehensif, China sudi berganding bahu dengan Malaysia, bekerjasama secara rapat, berkongsi peluang dan membuat rancangan bersama untuk mencapai wawasan pembangunan kita.

Sumber: Berita Harian, 14 Mac 2018