Sabtu 18 August 2018
A- A A+

Belajar daripada hud-hud, semut dan labah-labah

UNGKAPAN fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh sudah diterima masyarakat. Hakikatnya, itu adalah terjemahan firman Allah daripada Surah al-Baqarah, ayat 217.

Malah, semua pihak akui sebab dan akibat daripada fitnah akan mengakibatkan korban yang sungguh dahsyat, bukan sahaja nama orang yang difitnah itu mendapat aib, tetapi boleh mengakibatkan lenyapnya sesuatu bangsa, atau pun jatuhnya sebuah negara.

Bagi orang Islam, sejarah sudah membuktikan tiga khalifah menjadi korban fitnah, seperti terbunuhnya Khalifah Umar al Khattab ra; Khalifah Uthman al-Affan ra dan Khalifah Ali Abi Talib ra serta ramai lagi pemimpin Islam dibunuh dengan kejam oleh manusia yang gila kuasa.

Sejak kebelakangan ini, penyebaran berita palsu, termasuk yang berunsur fitnah semakin ketara, lebih-lebih lagi masing-masing pihak, termasuk parti politik mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Penulis yang mengikuti forum Bicara BH bertajuk 'Bisa Fitnah Siber,' baru-baru ini, tertarik dengan hujahan penceramah agama yang juga Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, bahawa perbuatan menyebar berita palsu adalah haram dan mereka yang melakukannya boleh mendapat dosa.

Sedangkan, kata beliau, binatang pun tahu bercakap benar seperti diceritakan dalam Surah an-Naml (semut), bagaimana burung Hud-Hud pada zaman Nabi Sulaiman AS bercakap benar mengenai kehilangannya ketika dipanggil menghadap Baginda bersama-sama binatang lain, sedangkan ketika ketiadaannya, Hud-Hud bertemu Puteri Balqis di tempat lain.

Begitu juga Mohd Farid Ravi menjelaskan amat sukar untuk seseorang keluar selepas terjebak atau terbabit dengan fitnah seperti yang disebut dalam al-Quran menerusi Surah al-Ankabut.

"Allah mengumpamakan perbuatan fitnah seperti sarang labah-labah yang sangat rapuh, tetapi apabila ada serangga yang tersangkut pada sarang berkenaan, susah untuk mereka keluar darinya," katanya.

Didalam al-Quran, ada lima surah dinamakan sempena haiwan iaitu al-Baqarah (sapi betina), al-An'am (binatang ternak), an-Nahl (lebah), an-Naml (semut) dan al-Ankabut (labah-labah), yang masing-masing menceritakan pelbagai peristiwa tersendiri bersama pengajaran untuk dijadikan pedoman dalam memenuhi tuntutan hidup seharian berlandaskan syariat.

Jika selama ini banyak pihak mempertikaikan langkah penguatkuasaan dalam membendung penyebaran berita palsu, kenyataan Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, seharusnya diberikan perhatian, terutama pemimpin parti politik.

Yang pasti, semua individu termasuk orang kenamaan, tokoh dan pemimpin politik tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan jika mereka menyebarkan berita palsu menerusi pelbagai saluran selepas undang-undang itu dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Ini bermakna dengan pengenalan akta itu, agensi penguatkuasaan seperti MCMC akan diperuntukkan kuasa untuk memohon perintah mahkamah supaya syarikat pengendali seperti Facebook, Instagram atau Twitter boleh diarah menarik balik posting yang melanggar undang-undang dan norma, termasuk berita palsu.

Diharapkan kerajaan mengambil langkah sama yang dibuat di beberapa negara Barat dengan mengenakan denda yang tinggi bagi kesalahan menyebar berita palsu, tidaklah denda maksimumnya sehingga 44 juta Euro (RM211 juta) seperti dilaksanakan di Jerman.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Gaya Hidup, Hal Ehwal Semasa BH


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking