Isnin 15 October 2018
A- A A+

Mempertahankan hak pekebun kecil

DALAM usaha menangani ancaman terhadap pengharaman minyak sawit Malaysia di Eropah, perlu untuk berada di lokasi yang menjadi sumber kepada masalah berkenaan.

Baru-baru ini, saya mewakili Kerajaan Malaysia menyertai misi rundingan sawit di beberapa ibu kota Eropah, bertujuan mendapatkan sokongan ke atas Malaysia dan memastikan kita dapat menggagalkan pengharaman terhadap minyak sawit di Kesatuan Eropah (EU) seperti yang mereka rancang.

Delegasi Malaysia mengadakan kunjungan hormat ke atas wakil Kerajaan Sepanyol, Jerman dan United Kingdom (UK) serta pembuat dasar daripada EU di Brussels.

Kerajaan Malaysia menyampaikan mesej yang sama di setiap rundingan bahawa Malaysia bersedia melakukan apa yang perlu untuk mempertahankan pekebun kecil kita, serta tidak akan menerima sebarang bentuk pengharaman atau diskriminasi ke atas minyak sawit Malaysia.

Dalam hal ini, pembelaan kerajaan terhadap pekebun kecil Malaysia kini diterima baik di Eropah. Ia amat berkesan dan memihak kepada kita. Pemimpin Eropah memberi tindak balas yang memberangsangkan.

Suruhanjaya EU menyatakan bahawa mereka bersetuju dengan Malaysia bahawa pengharaman itu bertentangan dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Ini juga satu hujah kita yang paling berkesan.

Selepas pertemuan dengan wakil Kerajaan Sepanyol di Madrid, mereka mengumumkan secara terbuka bahawa mereka akan mengundi menentang pengharaman minyak sawit.

Cerita palsu

Mengapa kita perlu pergi ke Eropah dan mengapa orang Eropah cuba mengharamkan bahan bakar bio berasaskan sawit? Selama beberapa tahun kebelakangan ini, aktivis antiminyak sawit menyebarkan berita palsu tentang minyak sawit di Eropah. Ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) radikal, serta pengeluar minyak sayuran lain yang tidak dapat menandingi kualiti unggul minyak sawit.

Ramai dalam kalangan ahli politik Eropah menyertai kempen yang menyebarkan cerita palsu tentang minyak sawit, termasuk tuduhan tidak berasas mengenai penebangan hutan, ancaman ke atas haiwan liar dan piawaian makanan.

Amat mustahil untuk menghalang orang ramai daripada mereka-reka cerita. Apa yang kerajaan harus lakukan ialah memperbetulkan cerita yang tidak benar di mana sahaja ia muncul. Itulah tujuan lawatan saya ke Eropah.

Hasilnya, media di Eropah kini mula melaporkan berita yang betul tentang minyak sawit Malaysia. Akhbar dan stesen radio utama di Jerman, UK, Sepanyol dan media EU di Brussels, sudah mula bercakap tentang tindakan Kerajaan Malaysia. Ini berita yang sangat positif bagi pekebun kecil kita. Justeru, dapat membantu melindungi eksport kita ke Eropah.

Pada masa sama, kita perlu sedar bahawa kita juga berdepan dengan masalah yang serupa dalam negara. Sesetengah pihak di Malaysia berulang kali mengembar-gemburkan maklumat songsang berkenaan resolusi Eropah dan minyak sawit. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini akan menjejaskan seramai 650,000 pekebun kecil di seluruh Malaysia.

Mata pencarian

Sawit satu-satunya punca mata pencarian mereka. Isu ini sangat mudah. EU cuba mengharamkan pekebun kecil kita daripada menjual minyak sawit mereka, tanpa apa-apa asas. Rakyat Malaysia harus bekerjasama dan menyokong pekebun kecil kita serta mempertahankan produk keluaran negara. Itulah yang dilakukan oleh kerajaan, dan atas sebab itulah, saya mengetuai misi rundingan sawit antara Malaysia dan EU.

Mesej yang Kerajaan Malaysia berikan kepada di Eropah jelas. Pekebun kecil kita berhak menanam pokok sawit dan juga tanaman lain yang bersesuaian. Kita tidak akan menerima sebarang bentuk sekatan atau pengharaman ke atas aktiviti mereka.

Minyak sawit membantu komuniti luar bandar dalam meningkatkan pendapatan, menyara keluarga dan memperbaiki hidup mereka. Pekebun kecil FELDA ialah bahagian penting dari sejarah negara kita. Begitu juga komuniti pekebun kecil yang lain.

Kumpulan pekebun kecil ini juga menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengharaman minyak sawit oleh EU dan mengadakan protes serta menghantar petisyen yang ditandatangani oleh kira-kira 300,000 pekebun kecil.

Kita mendapat hasil yang positif daripada usaha pekebun kecil itu, dengan sokongan kerajaan. Kita juga akan memenangi perjuangan ini di Eropah.

Saya tidak akan teragak-agak untuk ke Eropah lagi jika perlu, untuk memastikan kemenangan. Kerajaan akan berusaha apa sahaja untuk mempertahankan sektor minyak sawit kita dan pendapatan rakyat luar bandar. Itu semestinya.

Penulis adalah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

YB Datuk Seri Mah Siew Keong


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking