Rabu 17 October 2018
A- A A+

TN50 ke arah Malaysia inklusif, adil dan lestari

SEJAK aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) diumumkan kerajaan setahun yang lalu bermula daripada dialog perdana pertama yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pelbagai usaha telah dikerahkan untuk mengumpul cadangan-cadangan daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan belia untuk mengutarakan pandangan mereka dalam mencorakkan Malaysia pada tahun 2050.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diberikan tanggungjawab yang penting dalam memulakan agenda nasional ini telah menganjurkan sebanyak lebih 135 sesi dialog dengan pelbagai sektor belia bertujuan menyelami serta mendengar konsep Malaysia 2050 idaman mereka.

Kini, selepas setahun, Kanvas Belia TN50 iaitu laporan rumusan siri dialog bakal dibentangkan kepada Perdana Menteri pada 28 Februari ini.

Laporan itu memuatkan 60,000 aspirasi unik yang diperolehi menerusi usaha pendampingan golongan 
belia merangkumi dialog, bengkel serta saluran atas 
talian seperti laman web rasmi, media sosial 
dan sebagainya sepanjang tahun lalu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, SYUKRI 
SHAARI dan AFIQ MOHD. SHAH serta 
jurufoto ROY AZIS ABD. AZIZ, Menteri Belia 
dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkongsi hala tuju seterusnya 
untuk agenda TN50.

UTUSAN: Boleh YB ulas serba sedikit mengenai perjalanan TN50 sepanjang setahun diperkenalkan dan apa yang seterusnya?

KHAIRY: Sejak bermulanya TN50 setahun lalu, saya telah mendam­pingi hampir dua juta belia seluruh negara menerusi lebih 135 siri dialog kendalian Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kita telah berjaya mengumpulkan lebih 60,000 aspirasi unik anak muda yang telah dirumuskan dalam satu bentuk laporan yang dipanggil Kanvas Belia TN50.

Laporan ini sekali gus merupakan fasa kedua TN50 dan saya sendiri akan menyerahkan Kanvas Belia TN50 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sebuah majlis pada 28 Februari ini. Laporan ini mempamerkan tahap pemikiran generasi muda Malaysia yang menyumbang kepada proses bawah ke atas (botto­m-up) untuk melahirkan satu visi bagi tiga dekad akan datang.

Antara ciri-ciri Malaysia yang diidamkan belia dalam proses setahun ini adalah untuk melihat sebuah negara yang inklusif dan menyediakan peluang adil kepada semua rakyat termasuk mengamalkan kelestarian dalam pembangunan, mempunyai tadbir urus yang efektif dan bertanggungjawab. Selain itu, mempunyai sistem pendidikan yang cemerlang, memelihara warisan budaya dan menjadi sebuah negara bersatu padu yang mana identiti utama kita adalah sebagai rakyat Malaysia, bukannya perbezaan daripada sudut etnik ataupun agama.

Sejak bermula TN50 setahun lalu, bagaimana YB melihat aspirasi yang dikongsi dan dimahukan belia untuk tahun 2050?

Saya merasakan kualiti aspirasi yang dicadangkan adalah sangat tinggi. Belia negara berjaya memikirkan sehingga 30 tahun akan datang. Menjangkakan beberapa perubahan akan berlaku seperti penuaan masyarakat, proses urba­nisasi yang lebih tinggi, jangka hayat yang meningkat, tekanan kepada sumber asli dan keperluan untuk kita terus menjamin keselamatan di samping bekalan makanan.

Belia Malaysia seluruh negara juga telah memikirkan perubahan kepada proses geopolitik, perubahan kepada teknologi, bagaimana menghadapi serangan digital sehinggalah kepada menginginkan sistem pendidikan yang berkesan dan dirangka untuk setiap seorang pelajar, bukan secara umum sahaja.

Antara tujuh bab utama dalam laporan Kanvas Belia TN50 ini adalah:

* Pertamanya, Ekonomi Dinamik, Kerjaya Memberangsangkan. Ramai meletakkan aspirasi ini sebagai keutamaan, memikirkan bagaimana kita hendak memastikan ekonomi negara betul-betul menjadi 20 ekonomi teratas dunia dengan membekalkan kerjaya atau pekerjaan yang berpendapatan tinggi serta tidak akan diganti oleh kepesatan teknologi menerusi robot, automasi dan sebagainya.

* Keduanya, Pendidikan untuk masa depan. Sistem pendidikan yang menyediakan kurikulum dan pengajaran yang dapat me­ngatasi segala gangguan teknologi yang bakal datang dalam 30 tahun lagi. Sebagai contoh, kita mengajar proses pengaturcaraan ataupun coding di sekolah-sekolah. Kita melihat kepada sistem pendidikan yang lebih mementingkan bahasa digital dan bahasa Inggeris. Selain itu, kita juga mementingkan sistem pendidikan yang meraikan kejayaan berbeza, tidak semestinya seseorang yang memilih ali­ran vokasional dianggap sebagai pelajar gagal. Dia mungkin seorang pelajar yang lebih senang dengan latihan amali berbanding pendidikan akademik.

* Ketiga, Ma­sya­rakat yang Adil dan Kukuh. Maksudnya, tidak ada sesiapa atau mana-mana pihak akan ketinggalan. Kita bakal mempunyai jaringan keselamatan sosial yang tinggi. Dapat membawa pembangunan ke kawasan luar bandar, ini semuanya aspirasi yang dibawa belia. Sebagai contoh, belia di kampung-kampung mengimpikan kampung mereka kekal dengan identiti tersendiri tetapi mempunyai kemudahan moden sepertimana di kawasan bandar.

* Keempat, Kesihatan dan Kese­jahteraan Dijadikan Asas. Perkara ini memperlihatkan bagaimana kita harus lebih peka dengan kesihatan diri sendiri. Jika tidak, Malaysia akan melihat peningkatan penya­kit-penyakit ti­dak berjangkit seperti kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.

* Kelima, Tanggungjawab Terhadap Khazanah Semula Jadi. Perkara ini termasuklah mempu­nyai akses yang lebih kepada pembangunan teknologi hijau.

* Keenam, Tadbir Urus yang Efektif dan Amanah. Perkara ini termasuklah mahu melihat akauntabiliti dalam pentadbiran seluruhnya.

* Ketujuh, Negara Kaya Budaya dan Bersemangat Juara. Maksudnya negara yang berjaya dalam bidang sukan dan sebagainya. Hal ini kerana kita tidak mahu hanya melihat kepada pembangunan daripada sudut sosial dan ekonomi semata-mata, tetapi juga daripada sudut kesenian serta budaya dan penglibatan kita dalam sukan antarabangsa.

Apakah cabaran utama yang kita perlu tempuhi untuk melaksanakan TN50?

Cabaran paling utama pada saya adalah perubahan sikap untuk kita mencapai matlamat tersebut. Contohnya, melibatkan aspirasi menjadi negara yang lestari atau dalam istilah antarabangsa disebut carbon neutral. Maksudnya, kita menjadi negara yang dapat mengawal pengelua­ran gas karbon dengan berkesan. Perkara ini hanya dapat dikecapi sekiranya kita ada perubahan dari segi gaya hidup dan komitmen kita untuk mengamalkannya di peringkat rakyat sendiri. Selain itu, aspirasi untuk menjadi negara yang bersih daripada sampah sarap. Itu hanya dapat dilakukan sekiranya kita mengubah mentaliti kita. Perkara ini sewajarnya menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia.

Bagi saya banyak aspirasi ini bergantung kepada kesediaan kita untuk mengamalkan gaya hidup berbeza. Supaya kita tanamkan budaya dan nilai tersebut di peringkat awal lagi. Sebab itulah antara langkah TN50 adalah memperkenalkan modul disiplin kebersihan bermula daripada peringkat tadika lagi. Perkara ini juga telah dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri. Anak-anak di tadika harus diajar bagaimana untuk mengutamakan kebersihan dengan mencuci tadika mereka sendiri, seperti yang dilakukan di negara-negara maju termasuk Jepun.

Saya merasakan cabaran utama bukanlah dari segi perancangan dan peruntukan kerana kita telah mempunyai perancangan manakala saya percaya peruntukan sewajarnya akan diberi. Namun cabaran utama adalah dari segi amalan hidup kita sendiri. Perkara itu yang perlu ditangani setiap individu.

YB menyentuh mengenai perubahan sikap rakyat, bagaimana TN50 dapat memastikan perubahan itu adalah suatu perkara berterusan sehingga 2050?

Perkara ini harus bermula daripada awal. Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Sistem pendidikan kita mestilah lebih tertumpu ke arah pembentukan nilai-nilai murni, selain daripada memenuhi potensi setiap insan. Kalau kita tengok sistem pendidikan di negara-negara maju, ba­nyak tumpuan diberi bukan hanya kepada proses mengira, membaca dan menulis (3M) sahaja, tetapi juga pembentukan nilai murni. Perkara ini mungkin kita di Malaysia belum memberikan tumpuan secara sepenuhnya lagi.

Sekiranya perkara ini kita dapat buat, insya-Allah kita dapat lihat hasilnya dalam 30 tahun akan datang. Bagi mereka yang sudah melepasi alam persekolahan iaitu golongan dewasa, mungkin kempen-kempen kesedaran secara besar-besaran perlu dilaksanakan, bagaimana cara mudah untuk kita memahami bahawa kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu mengamalkan gaya hidup dan pendekatan berbeza untuk mencapai matlamat TN50.

Setelah pelbagai siri dialog dijalankan dan 60,000 aspirasi diterima, adakah YB merasakan belia sudah bersedia ke arah perubahan sikap?

Saya sangat teruja dan bangga dengan belia masa kini kerana mereka banyak menyentuh tentang perkara-perkara yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh generasi sebelum ini. Semasa saya pergi ke Sabah dan Sarawak, banyak aspirasi yang saya terima mengatakan pembangunan itu bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga pemuliharaan alam sekitar. Bagaimana untuk kita kurangkan proses pembalakan. Bagaimana khazanah flora dan fauna perlu dikekal serta dipelihara dengan baik. Dan ini sangat menggambarkan tahap pemikiran yang sudah mula berubah dalam kala­ngan anak-anak muda Malaysia.

Mereka juga bercakap tentang komitmen untuk menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan teknologi hijau. Selain itu, mereka juga meminta supaya diwujudkan insentif membawa kenderaan elektrik import. Perkara ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia terutama anak muda bukan sahaja memikirkan tentang hari ini tetapi juga 30 tahun akan datang supaya negara kita menjadi negara yang lestari, kekal mampan dan sebagainya.

Bagaimana pemimpin masa kini menyelami pemikiran anak muda masa kini memandangkan aspirasi yang dicadangkan berbeza dengan generasi terdahulu?

Saya melihat komitmen daripada Jemaah Menteri sangat tinggi dalam memahami dan mengha­yati aspirasi anak muda. Walaupun mereka daripada generasi berbeza, namun saya melihat mereka juga dapat menghargai aspirasi anak muda sebagai amalan terbaik antarabangsa. Ini kerana Jemaah Menteri sentiasa terlibat dengan amalan baik antarabangsa. Sebagai contoh, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid selalu terlibat dengan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga sentiasa ke negara-negara lain. Mereka (Jemaah Menteri) sudah melihat anak muda ini mempunyai aspirasi yang sama dengan negara maju jadi pada saya tiada jurang antara menteri dan rakyat.

Saya melihat aspirasi TN50 ini sangat dekat dengan amalan terbaik antarabangsa tetapi dalam masa yang sama terus kekal dengan acuan kita sendiri. Benda-benda pelik dan tidak sesuai dengan budaya, kita akan tolak. Tetapi perkara melibatkan soal pembangunan dan ekonomi, ini semua kita boleh terima termasuklah berkaitan gaya hidup seperti susunan kerja yang fleksibel. Bagaimana kita membenarkan pekerja mengimbangi antara pekerjaan dan kehidupan. Ini adalah amalan terbaik antarabangsa untuk menjadi lebih produktif. Itu tiada masalah untuk kita terima.

Sebelum ini ada cakap-cakap mengatakan TN50 akan menggantikan Wawasan 2020, namun belia faham bahawa visi ini adalah kesinambungan daripada perkara itu. Pandangan YB?

Saya telah jelaskan mengenai perkara ini. TN50 adalah kesinambungan kepada apa sahaja visi nasional yang ada selama ini. Saya juga melihat pada hari ini tiada banyak soalan berkenaan TN50 yang panas atau kontroversi diajukan semasa persidangan Dewan Rakyat. Jika ada pun bertanyakan mengenai penganjuran program dan sebagainya kerana pihak pembangkang pun sedar TN50 ini bukan satu program politik tetapi sebenarnya usaha untuk kita menyediakan negara bagi menghadapi 30 tahun akan datang.

Saya pernah katakan kepada pembangkang. Kalau berlaku pertukaran kerajaan pun, siapa sahaja yang menjadi kerajaan mestilah menghormati TN50 sebab ini adalah suara rakyat. Bukan suara KJ. Bukan suara Najib tetapi ini dikumpulkan daripada rakyat. Ya, memang saya telah memberi panduan dalam setiap sesi perbincangan termasuk menjadi moderator. Setiap perbincangan haruslah ada pemandunya tetapi idea itu sendiri datang daripada belia secara umumnya. Sama ada melalui siri dialog, media sosial, program yang dianjurkan, duta TN50 atau kumpulan pakar kecil yang kita tubuhkan untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai idea yang te­lah dicadangkan dalam dialog lebih besar. Jadi inilah hasilnya.

Adakah 60,000 aspirasi itu cukup untuk menyediakan belia untuk menghadapi tahun 2050?

Saya rasa dokumen ini boleh diistilahkan sebagai dokumen yang akan sentiasa ditokok tambah. Walaupun, kita serahkan dokumen ini dalam masa terdekat tetapi akan ada banyak perubahan dalam tempoh 30 tahun. Maksudnya TN50 ini kita mulakan dari sekarang tetapi tidak boleh dimuktamadkan ke­rana dari semasa ke semasa mesti kita semak semula.

Kita mesti akan kaji semula jika ada asas-asas pemikiran pada waktu kita laksanakan dokumen ini. Mungkin pada tahun 2030 atau 2040, kita perlu semak semua sasaran yang kita tetapkan. Sama ada perlu perubahan atau sama ada benda yang kita tidak menjangka berlaku akan terjadi.

Maksudnya, semuanya bergantung kepada peredaran masa?

Ya, mesti kerana salah satu perkara yang pasti adalah perubahan. The only constant is change. Jadi dalam masa tiga dekad ini, kalau kita tidak menerima hakikat akan ada perubahan seperti per­ubahan teknologi yang tidak dapat kita ramalkan, maka kita akan gagal dalam perancangan. Kita telah letakkan satu asas yang baik tetapi kita juga perlu terbuka menerima perkembangan yang baharu.

Sebagai contoh, 65 peratus daripada pekerjaan yang bakal diisi oleh pelajar sekolah rendah pada hari ini belum lagi wujud. Jadi dalam masa 30 tahun apabila kita melihat kerja-kerja baharu ini wujud, yang tidak pernah kita jangkakan selama ini. Takkan kita tak buat perubahan pada sistem latihan kita. Kalau kita tersekat sahaja dengan apa yang kita buat pada hari ini iaitu memuktamadkan sampai 30 tahun lagi, kita akan ketinggalan.

YB selalu tekankan TN50 tidak perlu tunggu sehingga tahun 2050, namun pada pandangan YB adakah asas yang dibina ini sudah kukuh untuk menghadapi 30 tahun lagi?

Asas itu mestilah dibina secara berterusan. Kita tidak boleh mengharapkan kejayaan dalam tempoh masa terdekat. Dan kita juga takkan tangguhkan sampai tahun 2020. Semua mesti dijalankan secara berperingkat. Sebagai contoh, kita nak jadikan Malaysia sebagai negara bebas tunai, mungkin kawasan tertentu seperti kawasan bandar boleh ke arah itu dahulu. Kawasan luar bandar dan pedalaman dikemudiankan kerana mungkin kekurangan fasiliti dan sebagainya. Yang penting adalah kita letakkan hala tuju dan kita te­rus melaksanakan perancangan itu.

Sejak setahun lalu, TN50 bukan sekadar melibatkan pe­nyertaan rakyat sahaja tetapi juga pihak swasta, bagaimana YB menilai penglibatan pihak swasta dalam merencana visi ini?

Saya sangat berterima kasih kepada banyak pihak swasta yang tampil ke hadapan memberi idea. Bukan itu sahaja, mereka juga telah melancarkan beberapa program yang dapat mencerminkan ciri-ciri negara ke arah TN50. Saya telah pergi ke pelbagai program anjuran pihak swasta. Antaranya program Pharmaniaga dan Boustead yang dapat meningkatkan lagi tanggungjawab rakyat terhadap kesihatan mereka sendiri.

Itu antara contoh aspirasi TN50 yang nak dijayakan dalam program itu. Selain itu, pelbagai lagi syarikat lain mula terlibat seperti Digi yang mahu menjadikan masyarakat ke arah bebas tunai. Bank Pembangunan yang mereka bentuk tempat kerja pada masa hadapan. Celcom melancarkan program keselamatan internet. Sime Darby pula ke arah pembangunan kawasan perbandaran masa hadapan.

Banyak yang sudah tampil bersama-sama menjayakan TN50 menunjukkan bahawa mereka sudahpun ada produk atau perkhidmatan selari dengan aspirasi ini.

Jadi, TN50 memperlihatkan penyertaan menyeluruh daripada semua pemegang taruh? Tidak hanya rakyat melibatkan penyertaan belia?

Ya itu sudah semestinya. Sebab kalau sektor swasta tidak tahu atau tidak selari dengan TN50. Visi ini tidak akan berjaya. Visi ini mesti didukung oleh kerajaan, rakyat dan semua terutamanya peneraju kepada ekonomi negara iaitu sektor swasta.

YB mengatakan cabaran utama TN50 adalah pemikiran rakyat yang perlu berkembang, bagaimana kerajaan atau YB sendiri mahu memupuk pemikiran ke arah negara yang diidamkan pada 2050?

Kita kena didik rakyat. Buat perancangan yang mudah difahami. Kita kena tunjuk bahawa ini adalah amalan terbaik dan kepada amalan ini terbaik untuk semua. Mungkin mereka rasa bahawa pembuangan sampah yang tersusun tidak mengubah kehidupan mereka tetapi kita kena beritahu apa risiko jika tidak laksanakannya. Sebagai contoh, jika tidak membuang sampah dengan cara betul, longkang akan tersumbat dan mengakibatkan banjir. Kita kena tunjuk apa kesannya kerana mungkin rakyat tidak memahami apa kesannya kepada diri sendiri.

Bagaimana pula hasrat anak muda terhadap masa depan politik negara?

Anak muda mahukan politik yang tidak memecah-belahkan masyarakat. Mereka tidak suka kepada politik yang menggunakan kaum, agama dan memecah-belahkan masyarakat. Mereka mahu politik yang lebih matang. Tahu meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat. Sistem pentadbiran yang responsif, bersih dan bukan sahaja mengamalkan integriti tinggi tetapi juga dapat menjaga kedaulatan serta keselamatan negara.

YB yakin semua aspirasi yang telah dan bakal dicadangkan ini dapat membantu Malaysia mencapai negara yang kita impikan pada tahun 2050?

Saya rasa kalau kita dapat me­laksanakan sepenuhnya atau sebanyak mungkin aspirasi ini. Kita akan dapat mencapai harapan 20 negara teratas dalam pelbagai bidang tetapi kena ada komitmen daripada semua pihak. Jika tidak disusuli dengan perubahan sikap dan mentaliti, kita tidak akan dapat mencapai hasrat ini. Tetapi kalau kita dapat menghasilkan penghijrahan pemikiran dalam tempoh tiga dekat ini, kita boleh ke arah itu.

 

Sumber: Utusan Malaysia, 26 Februari 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking