Selasa 21 August 2018
A- A A+

Siapa Kekasih No. 1 Rakyat Malaysia?

SOALAN: Agak-agak siapa yang paling diutamakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia dalam kehidupan harian mereka?Anda salah jika menjawab suami, atau anak-anak. Salah juga jika ada yang menjawab isteri atau kekasih.

Tidak juga guru, kereta, atau kucing. Malah, bukan juga agama!Sekiranya berdasarkan pembahagian dan peruntukan masa, apa yang paling diutamakan oleh sebahagian besar kita hari ini ialah telefon bimbit.

Menurut kajian Counterpoint, seperti yang dilaporkan media, lebih separuh (55%) daripada penduduk negara menghabiskan lebih lima jam sehari pada telefon bimbit.

Tempoh lima jam itu yang sepatutnya digunakan untuk pel-bagai kerja yang lebih bermanfaat, kini dibazirkan dengan gajet di tangan untuk melayari internet.

Ketagihan internet kini berada di tahap membimbangkan. Ini diakui oleh banyak pihak, termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut beliau, sebanyak 80 peratus daripada 24.1 juta pengguna internet di negara ini adalah pengguna media sosial. Setiap pengguna mempunyai purata empat akaun media sosial.

Dengan sekian banyak akaun media sosial, dan berjuta-juta pengguna telefon bimbit – termasuk kanak-kanak! – kita memang sedang dikelilingi oleh penagih gajet.

Kajian mendapati 76.1 peratus pengguna internet adalah golongan belia iaitu berumur 20 hingga 49 tahun. Golongan kedua tertinggi berusia 19 tahun ke bawah iaitu 15.5 peratus, golongan 50 tahun ke atas hanya 8.4 peratus.

Pendek kata berinternet sudah menjadi rutin harian. Sebab itu kehidupan semakin tidak tenteram, porak-peranda. Serba-serbi menjadi gila-gila.

Perihal ketagihan internet @ kemaruk gajet, sekiranya tidak dinyatakan oleh menteri atau tidak dikhabarkan oleh kajian pun, memang kita boleh lihat setiap hari di keliling kita.

Bukan luar biasa apabila kita melihat kanak-kanak baru berusia lima atau enam tahun sudah mempunyai telefon bimbit sendiri. Ibu bapa berasa megah membelikan anak kecil telefon tercanggih. Akhirnya anak-anak lebih rapat dengan gajet, dan semakin renggang dengan keluarga. Pagi-petang, siang-malam anak-anak bermanja dengan gajet.

Menjadi pandangan biasa juga setiap kali berada di tempat makan awam – restoran, gerai, kelab, R&R – orang tidak sangat menghiraukan makanan, sebab lebih tertumpu pada telefon bimbit.

Baik suami, isteri, anak-anak tidak bercakap sementara menunggu makanan tiba; semuanya asyik bermain telefon di tangan. Mereka tidak bercakap dengan anggota keluarga, tetapi tersenyum dan ketawa dengan gajet.

Sepatutnya ketika keluar sekeluarga, tempat-tempat seperti ini adalah masa terbaik untuk bermesra dan berbual antara satu dengan lain. Malang sekali semua telah hilang kemanusiaan, dan lebih berbicara dengan skrin kecil di tangan.

Hidangan tiba tidak terus dimakan, mesti diambil gambar dulu, kemudian dihantar ke media sosial. Kemudian sambil makan terus memerhatikan skrin untuk melihat berapa banyak like, berapa pula komen.

Kalau ada yang komen, terpaksa pula berhenti mengunyah, sebab hendak membalas komen. Pada hal yang hendak dilayan itu hanya komen yang biasa, seperti “wah nampak sedap makan tu...”

Dan, balasannya: “Hmmm, memang sedap sakan, jomlah makan sama!” Tidak masuk akal, dia pun tidak tahu siapa yang memberi komen, tidak tahu di mana, tiba-tiba mengajak makan bersama!

Ada kes yang lebih teruk: oleh sebab ayah dan ibu sibuk melayan dan bercakap dengan skrin, anak yang kecil yang duduk semeja cuba mengambil makanan, dan tertumpah makanan dan minuman panas.

Anak malang itu melecur tangan, gara-gara ibu dan bapa asyik bermain telefon. Bukti bahawa ibu bapa lebih pentingkan gajet daripada anak kecil.

Dan, seperti yang selalu dila-porkan – juga ditularkan – berapa banyak kecederaan dan kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu yang melihat skrin kecil sambil memegang stereng.

Dengan penagihan internet, semua kini boleh menjadi penulis, boleh menjadi wartawan, malah semua boleh menjadi editor. Masing-masing berlumba – dan dikira menang – sekiranya dapat menyebarkan satu-satu maklumat dengan cepat, tanpa memikirkan sama ada maklumat yang dikongsi itu fakta atau auta.

Orang tidak lagi memikirkan betul atau salah, apa yang penting, mereka menjadi orang pertama menyebarkan semua sampah-sarap itu. Memang bercelaru kehidupan yang dikelilingi penagih internet.

Dalam keadaan ketagihan tahap tegar, gajet digunakan tidak kira waktu, tidak kisah tempat, pendek kata di mana sahaja ruang berinternet, termasuk di tandas dan bilik mandi.

Hatta, di atas ranjang pun orang bergajet-gajet. Sudah larut malam pun jari-jemari masih memegang dan memicit-micit telefon bimbit, pada hal sepatutnya ada benda-benda lain yang lebih afdal dipegang dan dipicit.

Apa boleh buat kita sudah semakin hilang norma-norma kemanusiaan, sebab terlalu asyik bergajet-gajetan.

KOlumnis SInar Harian: Abdul Jalil Ali, 4 Januari 2018

 

Artikel dimuat naik pada 6 Februari 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking