Ahad 24 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 21 Februari - Dasar Kebersihan Negara akan dilaksana dalam tempoh 3 bulan

21 Februari - Dasar Kebersihan Negara akan dilaksana dalam tempoh 3 bulan

21.2 kpkt

CYBERJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menggerakkan Dasar Kebersihan Negara bagi meningkatkan tahap kesedaran orang awam mengenai isu kebersihan di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata dasar berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan dengan menggariskan tiga komponen penting termasuk teknologi, sampah sebagai sumber pendapatan dan meningkatkan martabat pekerja pembersihan di mata rakyat.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk mengetuai penggubalan dasar ini supaya dapat tingkatkan kesedaran awam mengenai isu kebersihan.

“Pada masa sama, saya turut menggerakkan SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam) untuk memberi kesedaran atau ilmu bagaimana menukar sampah kepada sesuatu yang bernilai.

“Malah, SWCorp juga boleh meningkatkan mutu khidmat pekerja kebersihan dan membuat seberapa banyak program supaya status pekerja kebersihan tidak lagi dipandang jijik oleh orang awam.

“SWCorp juga boleh mengeluarkan sijil kerja mahir dalam bidang berkenaan, di mana menerusi proses pensijilan itu pekerja akan diajar teknik yang betul untuk menyapu atau sebagainya. Kita mahu pekerja kebersihan mencapai standard berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di sini, hari ini.

Tambah Zuraida, kebersihan negara sangat penting kerana ia adalah salah satu perkara yang amat dititikberatkan untuk mencapai taraf negara maju.

“Jika membuat lawatan ke negara luar, perkara pertama yang saya lihat ialah bagaimana cara mereka menguruskan sampah atau sisa pepejal.

“Saya juga berharap rakyat dapat menukar tabiat membuang sampah merata-rata dan sebaliknya sampah dibuang dalam tong sampah. Jika kita dapat mengubah mentaliti ini, ia secara tidak langsung dapat membantu kerajaan menyelesaikan masalah sampah,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 21 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking