Ahad 24 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 20 Februari - Kementerian Pertahanan rugi lebih RM500j kerana 'land swap'

20 Februari - Kementerian Pertahanan rugi lebih RM500j kerana 'land swap'

20.2 abamat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menteri, Mohamad Sabu, berkata perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Katanya, laporan siasatan berkenaan kemudian dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu.

“Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

“JKTUPKK juga mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil Kerajaan sepanjang pelaksanaan projek land swap adalah melebihi RM500 juta.

“Kami dimaklumkan bahawa majoriti pelaksanaan projek ‘land swap’ sebelum ini adalah tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan secara wajar mengikut sistem yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi ‘land swap’ berkenaan yang dipercayai untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Keadaan ini menyebabkan sebahagian projek sudah melangkaui tempoh kontrak yang dipersetujui sebelum ini selain terdapat projek yang sudah disiapkan tetapi kualiti pembinaan tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan pegawai di Kementerian Pertahanan membuat laporan polis, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan seterusnya tindakan lanjut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.

Isu ‘land swap’ membabitkan tanah MINDEF timbul selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah kementerian itu dipindahkan kepada sebuah syarikat milik tiga individu tanpa tender terbuka.

Dakwaan itu dibuat oleh Rafidah menerusi satu surat terbuka yang ditujukan kepada berkas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertarikh 8 April tahun lalu.

Beliau mendakwa semua tanah berkenaan dipajakkan selama 40 tahun kepada syarikat berkenaan untuk dibangunkan dengan pelbagai projek komersial.

Antara hartanah yang disebut oleh Rafidah dalam surat terbuka itu adalah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan Kem Majidee di Johor Bahru.

Sumber : Berita Harian Online, 19 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking