Ahad 24 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 18 Februari - 'Agenda pendidikan ambil kira keperluan semua'

18 Februari - 'Agenda pendidikan ambil kira keperluan semua'

18.2 dr mazlee

KUALA LUMPUR: Agenda dan hala tuju pendidikan untuk Bumiputera tidak pernah dipinggir apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, malah menjadi peneraju reformasi pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata semua dasar berkaitan pendidikan negara yang dibuat kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan Bumiputera tanpa menafikan hak dan keperluan pihak lain.

“Adakah hala tuju pendidikan di era #MalaysiaBaharu ini cenderung untuk mengetepikan agenda Bumiputera?

“Saya mencadangkan perbahasan yang lebih mendalam. Semua dasar yang dibuat sejak PH menjadi kerajaan mengambil kira keperluan yang akan memberi manfaat besar kepada Bumiputera tanpa menafikan hak dan keperluan pihak lain.

“Pendidikan Bumiputera tidak pernah terpinggir daripada gelombang perubahan. Mereka akan tetap terus menjadi nakhoda reformasi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.

Maszlee mengambil contoh dasar penerimaan masuk ke sekolah bagi kanak-kanak tanpa dokumen.

Katanya, dasar itu dilaksanakan selepas melihat masalah keciciran pendidikan anak Bumiputera yang tidak berdokumen, terutama di Sabah dan Sarawak.

Sejak dasar itu dilaksanakan awal tahun ini, Maszlee berkata, kementerian merekodkan kemasukan murid tidak berdokumen secara ketara.

“Seramai 2,635 kanak-kanak tidak berdokumen mendaftar dan kini mereka mendapat akses pendidikan yang sama seperti orang lain.

“Paling menarik, kanak-kanak dari Sabah dan Sarawak mencatat kemasukan tertinggi.

“Seramai 1,961 kanak-kanak dari Sabah dan 263 kanak-kanak dari Sarawak mendaftar,” katanya.

Namun begitu, katanya, pelaksanaan dasar itu perlu dilakukan dengan berhati-hati, mengambil kira sentimen masyarakat setempat dan pelbagai faktor lain.

Sebagai contoh, katanya, untuk kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri untuk diterima masuk ke sekolah yang mana salah seorang ibu bapa adalah warganegara, mereka memerlukan surat pengesahan atau surat perakuan daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai daerah, penghulu, ketua kampung, ketua kaum atau ketua rumah panjang tempat mereka tinggal.

“Hampir semuanya adalah Bumiputera yang hanya memerlukan dokumen dan pengesahan pihak berkuasa.

“Namun, atas dasar pendidikan untuk semua, saya dan pihak kementerian membuka seluas-luas pintu kepada mereka.

“Asalkan mereka mendapat pendidikan secukupnya, itu sudah membahagiakan semua,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 17 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking