Ahad 24 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 18 Februari - Sikap toleransi pupuk kemakmuran negara

18 Februari - Sikap toleransi pupuk kemakmuran negara

18.2 cny

SEREMBAN: Malaysia berjaya membangun dengan pesat hasil sikap toleransi pelbagai kaum yang terdapat di negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata sikap itu harus terus dipupuk supaya dapat menghasilkan lebih banyak nikmat dan kemakmuran kepada negara.

“Kita dapat lihat banyak negara lain, walaupun mempunyai agama yang sama tetapi tidak berdamai dan berperang.

“Malah, ramai terbunuh dan cedera. Negara mereka hancur kerana bedilan roket dan meriam.

“Ini berlaku jika tiada toleransi antara kita. Perlu ada toleransi jika berlainan bangsa, agama dan budaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menyertai mereka ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi; Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke serta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ribuan penduduk pelbagai kaum hadir pada majlis yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum, menyemarakkan semangat Malaysia Baharu, menjalin hubungan mesra antara pemimpin dengan rakyat serta mengetengahkan tradisi dan kebudayaan negara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata di Malaysia terdapat tiga kaum besar serta Orang Asli tetapi antara mereka tidak sama sekali bermusuh walaupun berbeza agama dan kaum.

Malah, katanya, semua kaum itu bekerjasama dengan baik dan berpeluang merayakan setiap perayaan bersama.

“Merayakan perayaan bersama tidak bermakna kita tukar agama, sebaliknya diizinkan setiap agama untuk berbuat demikian.

“Ini menunjukkan kita berbaik sesama kita. Sebab itu rakyat di Malaysia dapat hidup damai dan negara dapat dibangunkan,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 17 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking