Ahad 24 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 14 Februari - Perdana Menteri hadiri konsert Akiko Suwanai bersama MPO

14 Februari - Perdana Menteri hadiri konsert Akiko Suwanai bersama MPO

14.2 tun m

KUALA LUMPUR: Persembahan ‘The Romantic Violin’ oleh pemain biola tersohor dari Jepun, Akiko Suwanai, bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) berjaya memukau kira-kira 800 penonton di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), malam ini.

Ini merupakan persembahan kedua Suwanai bersama MPO sejak 2008. Suwanai adalah pemenang termuda pada Pertandingan Antarabangsa Tchaikovsky pada 1990.

Beliau juga sudah bekerjasama dengan ramai konduktor dan orkestra simfoni tersohor di serata dunia.

Konsert anjuran MPO dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia itu turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga penaung MPO.

Konsert istimewa itu bertujuan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara dari segi muzik.

Menariknya, konsert satu malam ini dihiasi dengan empat muzik klasikal simfoni karya agung ciptaan Mozart, Haydn, Brahms dan Sarasate yang dipimpin Alexander Briger dari Australia.

Terdahulu, Dr Mahathir yang mengenakan kemeja putih dan kot coklat cair, tiba kira-kira jam 8.40 malam dengan diiringi Dr Siti Hasmah, disambut oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, serta Ketua Pegawai Eksekutif MPO & DFP, Sareen Risham.

Sumber : Berita Harian Online, 13 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking