Ahad 24 March 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 14 Januari - Wisma Putra mohon pertimbangan Kemboja bebas 47 tahanan dengan segera

14 Januari - Wisma Putra mohon pertimbangan Kemboja bebas 47 tahanan dengan segera

14.2 kemboja

PUTRAJAYA: Wisma Putra sudah memohon kepada Kerajaan Kemboja supaya 47 rakyat Malaysia yang sedang ditahan di Banteay Meanchey, dibebaskan dengan segera.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata beliau sudah menghubungi Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa negara itu, petang tadi, berhubung perkara berkenaan.

“Saya menekankan bahawa Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang Kemboja dan Kerajaan Malaysia sentiasa mengingatkan rakyat supaya mematuhi undang-undang tempatan di mana juga mereka berada.

“Dalam hal ini, Malaysia sudah memohon supaya pertimbangan ke atas perkara ini dapat dipercepatkan agar mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan segera.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan Malaysia atas kerjasama diberikan oleh Kemboja, terutama dalam membenarkan beberapa lawatan konsular daripada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh ke atas tahanan itu.

“Saya secara peribadi menyampaikan rasa terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja atas keprihatinan beliau dalam perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, beliau juga sudah memohon supaya pihak Kemboja dapat memberi kerjasama dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia berkenaan terpelihara.

Beliau berkata, dua pegawai kanan Kementerian Luar terdiri daripada Setiausaha Bahagian Konsular dan Ketua Bahagian Undang-Undang, sudah bertolak ke Banteay Meanchey, hari ini, untuk meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung penahanan rakyat Malaysia itu.

“Dalam pada itu, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad, sudah berada di Banteay Meanchey sejak 12 Februari lalu untuk memberi bantuan konsular berterusan kepada warganegara Malaysia yang ditahan.

“Lawatan konsular ini adalah susulan kepada bantuan konsular diberikan oleh pegawai Kedutaan Besar pada 22 Januari lalu.

“Kedutaan Besar Malaysia juga memudah cara lawatan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien bersama beberapa ahli keluarga tahanan untuk membuat lawatan ke Penjara Banteay Manchey, hari ini.

“Atas inisiatif kedutaan, seorang doktor daripada badan bukan kerajaan, Hospital Beyond Boundaries, turut serta dalam lawatan ini bagi memastikan kesihatan mereka berada pada tahap yang baik,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan kes itu dengan rapi dan mengambil langkah sewajarnya dalam usaha mengembalikan mereka ke pangkuan keluarga di Malaysia.

Sumber : Berita Harian Online, 13 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking