Sabtu 16 February 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 11 Februari - Jangan taksub kepada pemimpin, parti politik - Tun M

11 Februari - Jangan taksub kepada pemimpin, parti politik - Tun M

11.2 jpm

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan anggota pentadbiran kerajaan supaya tidak taksub kepada pemimpin atau parti politik tertentu, sebaliknya mengutamakan negara.

Perdana Menteri berkata, kesetiaan sementara kepada pemimpin dan parti hanya perlu diberikan jika ia dapat memberi kebaikan kepada negara.

Bagaimanapun katanya, jika didapati penyelewengan dilakukan pemimpin dan parti yang disokong, maka kesetiaan itu perlu dialihkan kepada pemerintahan sedia ada walaupun sudah terikat kepada parti itu selama 61 tahun sebelum ini.

"Saya ingin ingatkan semua pihak bahawa kita berada di sini sama ada ahli politik yang dipilih rakyat atau pegawai dalam jentera kerajaan, kita perlu ingat bahawa yang lebih utama adalah negara kita, bukan pemimpin atau parti.

"Kalau negara ditadbir dengan baik, (kerajaan sedia ada) perlu mendapat kesetiaan dan ketaatan daripada kita.

"Bagaimanapun, jika ada penyelewengan, maka yang lebih utama adalah negara, bukan orang, parti atau ideologi tertentu," katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Perdana Putra di sini, pagi ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

 

TUN Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Perdana Menteri berkata, sistem demokrasi di Malaysia memberi peluang kepada sesiapa saja untuk memimpin dan terpulang kepada individu termasuk anggota pentadbiran kerajaan untuk menyokong parti dan agenda yang dibawa parti itu untuk memerintah negara.

Katanya, pertukaran kerajaan yang pertama kali berlaku di Malaysia sejak merdeka sudah tentu menimbulkan rasa tidak senang kepada anggota pentadbiran kerana kesetiaan sudah diberikan kepada kerajaan terdahulu sejak 61 tahun lalu.

"Jika pemimpin atau parti itu dapat meninggikan pencapaian negara kita, maka setialah kita kepadanya, namun jika kita dapati pemimpin itu sudah menyeleweng, menjalankan tugas yang tidak sepertinya, sudah mengurangkan tumpuan kepada kebaikan kita dan negara, maka kesetiaan kita itu tidak (perlu) begitu sehingga kita lupa apa terjadi kepada negara.

"Disebabkan itu, apabila menjalankan tugas sebagai pentadbir, tugas kita adalah untuk kebaikan negara. Kadang-kadang kita terpaksa mengubah sedikit pandangan kita terhadap keadaan dalam negara.

"Janganlah begitu taksub kepada pemimpin dan parti sehingga kita lupakan tugas kita untuk negara," katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 11 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking