Sabtu 16 February 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 30 Januari - NACP dilancarkan sebagai pelan peringatan, amaran berkaitan rasuah

30 Januari - NACP dilancarkan sebagai pelan peringatan, amaran berkaitan rasuah

30.1 NACP

PUTRAJAYA: Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 diperkenalkan bagi memberi peringatan dan amaran kepada semua Pemimpin sekarang dan masa depan termasuk perdana menteri dan menteri.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pelan itu juga menjelaskan bahawa rakyat Malaysia tidak akan menerima amalan rasuah kerana ia satu amalan keji dan menjijikkan.

“Pelan ini juga satu pernyataan yang tegas dari kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lalu telah dan sedang kita kejar dan akan kita hukum, manakala perasuah sekarang dan masa depan akan berdepan dengan tindakan yang lebih tegas.

“Ia satu bukti bahawa tindakan yang kita ambil terhadap perasuah yang lalu bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.

“Ia juga satu tindakan yang diambil kerana kerosakan yang mereka lakukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas,” katanya ketika berucap merasmikan pelan berkenaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Majlis sama turut dihadiri barisan Jemaah Menteri dan menteri besar.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh sekadar mengingatkan rakyat mengenai kesalahan yang sudah berlaku, sebaliknya perlu melihat ke hadapan dan mencari jalan supaya kesalahan sama tidak berulang.

“Adalah tidak mencukupi sekadar meletakkan kesalahan kepada kerajaan yang dahulu dan menjadikan ia sebagai ingatan.

“Sekadar niat tidak mahu melakukan rasuah dan janji mulut tidak memadai. Kita memerlukan pelbagai strategi, undang-undang serta sekatan supaya ia dapat membendung rasuah dan menyukarkan mereka yang ingin melakukannya,” katanya.

Justeru, katanya, beliau berharap NACP dapat mengekang budaya rasuah di dalam negara walaupun sedar ia tidak akan tercapai dengan mudah dan cepat.

“Pelan ini disediakan melalui satu proses yang mengambil kira aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dalam perjalanan memerangi rasuah. Ianya bersandarkan bukti-bukti empirikal daripada hasil analisis kajian dan data tangkapan serta laporan audit yang terkini.

“Pelan ini juga mengambil pandangan dan maklum balas daripada semua Ketua Setiausaha kementerian-kementerian, ketua jabatan selain perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan,” katanya.

Katanya, NACP memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; tadbir urus politik; tadbir urus korporat; pentadbiran sektor awam dan perundangan dan kehakiman.

Selain itu, katanya, enam strategi digariskan untuk enam bidang keutamaan itu termasuk mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan kerajaan; menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang; memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik dan memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat.

“Dua strategi lain termasuk memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman. Saya juga difahamkan, terdapat 115 inisiatif yang sudah dirancang bagi menjadikan negara bebas rasuah.

“Kesemua inisiatif ini tidak boleh dilaksanakan oleh saya seorang diri, atau oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) sahaja. Tidak juga ini menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau agensi-agensi lain yang diberi tanggungjawab mengenai governans dan integriti.

“Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak. Daripada Perdana Menteri sehinggalah kepada guru-guru di tadika terutamanya di dalam menanam nilai yang baik dan benci kepada rasuah dalam kalangan anak-anak kita,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 29 Januari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking