Sabtu 16 February 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 30 Januari - Tanggungjawab oleh Allah untuk menjaga Pahang - Tengku Mahkota Pahang

30 Januari - Tanggungjawab oleh Allah untuk menjaga Pahang - Tengku Mahkota Pahang

30.1 tmp

PEKAN: Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang, hari ini menganggapnya sebagai satu tanggungjawab oleh Allah untuk menjaga negeri ini.

Baginda bertitah legasi ditinggalkan kerabat diraja sejak dahulu sehingga ayahandanya, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Shah yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat akan diteruskan olehnya.

“Saya bangga bukan untuk diri sendiri tetapi seluruh rakyat Pahang, istiadat hari ini adalah simbolik untuk menunjukkan adat resam Melayu di Pahang.

“Ia (Tengku Mahkota Pahang) satu tanggungjawab yang diberikan oleh Allah untuk menjaga rakyat Pahang, tanah dan benda hidup di Pahang,” titah baginda ketika ditemui media selepas istiadat pengisytiharannya sebagai Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Pada istiadat itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 24, turut dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang berikutan pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam tempoh lima tahun bermula Khamis ini.

Baginda juga berikrar untuk terus belajar bagi menjadi pemerintah yang baik selain yakin mampu mengikut jejak langkah setaraf dengan ayahandanya atau lebih baik.

“Memang saya sentiasa belajar dan akan terus belajar,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, baginda masih belum membuat keputusan mengenai pembentukan Jumaah Pemangku Raja bagi membantunya untuk mentadbir negeri ini sepanjang mengikuti latihan ketenteraan di Royal Military Sandhurst di United Kingdom sehingga penghujung tahun ini.

“Saya akan balik ke sana Jumaat ini (1 Februari) selepas pemasyhuran ayahanda sebagai Yang di-Pertuan Agong, pada masa ini semuanya berjalan seperti biasa.

“Saya akan mendapatkan nasihat ayahanda mengenainya, sekarang ini tiada sebarang keputusan dibuat,” titah baginda.

Sumber : Berita Harian Online, 29 Januari 2019

Real time web analytics, Heat map tracking