Rabu 17 October 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 10 Oktober - Permudah urusan permohonan visa rakyat Malaysia

10 Oktober - Permudah urusan permohonan visa rakyat Malaysia

10.10 TPM

JAKARTA: Kerajaan Indonesia memberi jaminan akan mempermudahkan urusan permohonan visa sementara kepada rakyat Malaysia yang mahu melanjutkan pelajaran di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jaminan itu diberikan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam pertemuan mereka, hari ini.

“Kita maklum mengenai isu visa sementara oleh rakyat Malaysia. Antaranya tiada penyelarasan sistem dan harga yang berbeza mengikut ejen.

“Kita sudah bangkitkan perkara ini dan kerajaan Indonesia memberi jaminan untuk menambah baik sistem itu,” katanya dalam sidang media malam ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kira-kira 4,000 pelajar Malaysia di Indonesia yang menuntut dalam bidang perubatan.

Dr Wan Azizah berkata, dalam pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, antara perkara yang dibangkitkan ialah kebajikan kanak-kanak warga Indonesia di Malaysia yang tidak berdaftar.

“Presiden membangkitkan isu peluang pendidikan sekurang-kurangnya pada peringkat rendah diberikan supaya mereka lebih bersedia apabila dapat pulang ke Indonesia.

“Kita akan lihat perkara ini termasuk mengenai kurikulum yang bersesuaian,” katanya.

Mengenai bantuan susulan kepada mangsa bencana alam di Sulawesi Tengah, Timbalan Perdana Menteri berkata, pertolongan seterusnya ialah program rehabilitasi membabitkan pendidikan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan mengenai perkara ini dengan lebih lanjut esok,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 9 Oktober 2018

Sumber Foto : NSTP

 

Real time web analytics, Heat map tracking