Isnin 17 December 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 5 Oktober - Kaji keperluan ganti boya tsunami - Dr Wan Azizah

5 Oktober - Kaji keperluan ganti boya tsunami - Dr Wan Azizah

5.10 tpm

PUTRAJAYA: Kajian menyeluruh termasuk dari segi teknikal akan dibuat segera berhubung keperluan penggantian boya yang boleh mencerap data dan menyalurkan maklumat awal amaran tsunami.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata perkara itu perlu dilihat segera kerana risiko tsunami melanda Malaysia memang sentiasa ada memandangkan negara pernah mengalaminya pada 2004.

“Seperti yang Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kata (kerajaan) akan melihat perkara ini. Antara keperluan yang akan dilihat adalah dari segi teknikal kerana bila kita ada risiko tsunami, memang perlu.

“Bagus jika kita tahu ia sudah tidak berfungsi, jadi kita boleh ambil langkah yang sewajarnya. Langkah berjaga-jaga mesti kita ambil.

“Kalau gempa bumi berlaku di negara jiran, negara yang berdekatan ada risiko dilanda tsunami seperti yang berlaku pada 2004 di negara ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan Kali Ke-6 di sini, hari ini.

Laporan eksklusif NSTP hari ini mendedahkan pemasangan peralatan menggunakan teknologi dari Norway itu dilakukan secara berfasa, sejak 2006 merangkumi tiga lokasi perairan, iaitu Laut Andaman, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan, bagi memastikan sebarang risiko tsunami berpunca daripada pergerakan kerak bumi di tengah laut berupaya dikesan lebih awal.

Projek boya tsunami dan tsunameter hasil kerjasama dengan Indonesia itu dilaksanakan susulan gempa melanda Acheh pada 2004 yang menyaksikan lebih 230,000 orang dari 14 buah negara, termasuk Malaysia terkorban, sekali gus terpahat sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah.

Bagaimanapun, fungsi boya tsunami pertama yang ditempatkan kira-kira 500 kilometer (km) dari Langkawi dan kira-kira 60 km dari Bandar Aceh, Indonesia di Laut Andaman pada 30 Disember 2005 didapati tidak memancarkan data setiap sela masa 15 minit, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati alatan itu hilang daripada pusat sauh.

Alatan sama yang diletakkan berhampiran Pulau Layang-Layang, Sabah dekat Laut China Selatan pada 7 Mac 2006 turut menimpa nasib sama dan dikategorikan sebagai dilupuskan pertengahan tahun lalu, selepas alat berharga jutaan ringgit itu didapati hilang, sama ada hanyut dibawa arus atau menjadi ‘mangsa’ perbuatan vandalisme.

Boya tsunami ketiga yang dipasang berhampiran Pulau Sipadan, Sabah dekat Laut Sulawesi pada 2010 pula tidak digunakan lagi selepas meletup ketika diselenggara di atas kapal MV Pendamar sehingga menyebabkan kematian ketua jurutera warga Norway, Stig Erik Lyng.

Sumber : Berita Harian Online, 4 Oktober 2018
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking