Rabu 17 October 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 5 Oktober - UK puji sistem demokrasi Malaysia

5 Oktober - UK puji sistem demokrasi Malaysia

5.10 uk

GEORGETOWN: United Kingdom (UK) memuji sistem demokrasi dipraktikkan rakyat Malaysia menerusi proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu yang melakar sejarah tersendiri.

Menteri Komanwel dan Asia Pasifik UK, Mark Field, berkata ia antara lain menjelaskan kesediaan rakyat di negara ini menerima dan mengguna pakai sistem demokrasi dalam membuat pilihan.

Katanya, PRU-14 juga menyaksikan kejayaan rakyat secara demokrasi membentuk kerajaan baharu, menggantikan kepemimpinan lama diterajui Barisan Nasional (BN) bagi mentadbir negara.

“Saya juga ada mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Malaysia dan parti pembangkang untuk berbincang mengenai perubahan yang berlaku.

“Ini memang sudah menjadi kebiasaan saya untuk melawat pemimpin kedua-dua parti dalam mana-mana lawatan, sebelum ini.

“Justeru, UK dan negara lain juga berharap untuk melihat perubahan Malaysia di masa hadapan, menerusi pentadbiran kerajaan baharu,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell di sini, hari ini.

Semalam, Field menyampaikan sumbangan RM323,000 daripada Kerajaan UK bagi membantu Perak menjaga kelestarian hutan dan hidupan liar, khususnya di Taman Negeri Royal Belum supaya pemuliharaan hidupan liar dan keadaan kawasan itu terjaga.

Sumbangan itu adalah komitmen UK untuk membantu Malaysia bagi aspek berkenaan, khususnya dalam memastikan habitat Harimau Malaya dan gajah kekal terpelihara.

UK sebelum ini menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama dengan Malaysia, termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian, keselamatan selain teknologi dan kesihatan.

Mengulas lawatan ke Pulau Pinang, Field berkata, pihaknya meneliti peluang dalam bidang kesihatan membabitkan hospital swasta, selain Malaysia dilihat mampu menikmati kelebihan daripada Global Prosperity Fund Better Health Programme UK.

“Saya teruja dengan lawatan ke sini dan dapat menyaksikan peluang kerjasama di luar dari Kuala Lumpur. Kita melihat peluang yang besar untuk kerjasama dan inovasi yang boleh dijalankan antara UK dan Malaysia di sini.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam program untuk mengenal pasti kaedah penyelesaian penyakit tidak berjangkit, sekali gus meningkatkan tahap kesihatan rakyat,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 4 Oktober 2018.
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking