Rabu 17 October 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 3 Oktober - Pelabur asing tidak peduli hutang negara - PM

3 Oktober - Pelabur asing tidak peduli hutang negara - PM

27.8 pm2

LONDON : Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan perbincangan terbuka berhubung beban hutang negara akan menakutkan pelabur.

Perdana Menteri berkata, pelabur di United Kingdom tertarik dengan kerajaan baharu selepas beliau memberi penjelasan yang usaha sedang dilaksanakan untuk membayar semula hutang yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

“Kerajaan Malaysia Baharu menjadi faktor tarikan bagi pelabur,” katanya.

Dr Mahathir bercakap kepada media Malaysia, selepas mengakhiri lawatan kerja dua harinya ke London, sebelum pulang ke tanah air.

Dr Mahathir diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ismail Bakar.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pelabur British termasuk Pengerusi HSBC Group, Mark Tucker; Lord Powell yang mewakili Jardine Matheson; Pengerusi Royal Dutch, Charles Holliday, Shell Plc dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadall di Hotel Four Seasons, di sini.

Dr Mahathir menyifatkan pertemuannya, terutama dengan pelabur British sebagai produktif.

Perdana Menteri yang membicarakan isu hutang negara dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara terbuka berkata, beliau tidak perlu menjelaskan usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan baharu pimpinannya untuk membayar pinjaman.

Dr Mahathir juga mengadakan dialog di Chatham House berhubung isu 1MDB dan menyampaikan syarahan bertajuk “Cabaran Urus Tadbir Baik Dalam Dunia Islam” .

Beliau menjelaskan ada pelabur menyuarakan kebimbangan dan ada antara mereka membuat keputusan menarik diri selepas mendengar masalah itu.

“Saya menjelaskan walau berdepan situasi buruk, kerajaan sedang berusaha memulihkannya dan sudah ada hasil kejayaannya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan baharu sudah berjaya mengurangkan hutang dan sekarang Malaysia mesra kepada pelabur baharu.

“Malaysia sebuah negara yang mesra sektor swasta kerana negara mengiktirafnya sebagai rakan kongsi dalam pembinaan negara,” katanya.

Mengulas isu 1MDB, Perdana Menteri berkata penyiasatan mengenai isu pengubahan wang haram tidak membabitkan Britain dan yakin negara itu akan bekerjasama jika memiliki sebarang maklumat berhubung dakwaan penyelewengan dana berkenaan.

Sumber : Berita Harian Online, 2 Oktober 2018.

Real time web analytics, Heat map tracking