Rabu 17 October 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 3 Oktober - Malaysia boleh kembali jadi Harimau Asia

3 Oktober - Malaysia boleh kembali jadi Harimau Asia

3.10 pm

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia boleh menjadi Harimau Asia semula dengan sambutan pelabur asing yang berjanji mahu melabur ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan reaksi pelabur pada pertemuan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) mereka berpuashati dengan penjelasan yang diberikan mengenai kedudukan negara selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Katanya, mereka juga berjanji akan ke negara ini untuk melabur.

“Saya memberitahu apa yang diutamakan kerajaan adalah untuk mewujudkan seberapa banyak peluang pekerjaan bagi rakyat pada semua peringkat.

“Mereka (pelabur) membuat pengakuan memerlukan pegawai, jurutera dan pekerja untuk mengeluarkan barang yang bermutu tinggi,” katanya berucap di hadapan 300 penyokong PH yang menyambut beliau di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.

Beliau bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan rombongannya disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof serta beberapa Timbalan Menteri.

Dr Mahathir dan rombongan tiba kira-kira jam 6.25 petang dari London selepas mengunjungi United Kingdom dan Amerika Syarikat bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York.

Dr Mahathir mengingatkan supaya tidak menghampakan pelabur asing dengan membuat persediaan dan bekerja keras serta tertib bagi memenuhi kehendak mereka.

Katanya, buktikan kepada pelabur ini bahawa Malaysia mampu mengeluarkan barang berkualiti dan buktikan negara ini mampu pulih serta kembali maju memegang semuka gelaran ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi rantau ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya pada pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May, beliau memberikan taklimat khusus mengenai cara Malaysia menangani masalah rasuah.

Katanya, May berpuashati dengan taklimat itu dan terkejut dengan sambutan yang diberikan pelabur dan ahli perniagaan di sana.

“Saya terharu dengan sambutan yang diberikan dan tidak sangka sama sekali mereka menerimanya dan menunjukkan minat dengan negara kita,” katanya.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Wan Azizah yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet sepanjang ketiadaannya selama 10 hari di luar negara.

“Saya juga berterima kasih dengan sambutan yang diberikan kepada saya sebaik pulang dari luar negara ini.

“Saya alhamdulillah sihat ada batuk sedikit...tetapi bila berucap tak batuk pun..,” katanya berseloroh.

Sumber : Berita Harian Online, 2 Oktober 2018

 

Real time web analytics, Heat map tracking