Isnin 17 December 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 27 September - Lantikan berdasarkan kredibiliti

27 September - Lantikan berdasarkan kredibiliti

27.9 mara

KUALA LUMPUR: Pelantikan Ahli Majlis Majlis Amanah Rakyat (MARA) dibuat bersandarkan merit dan profesional, bukannya atas faktor kronisme, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.

Beliau berkata, individu berkenaan memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing seperti pendidikan dan keusahawanan yang diharap dapat menyumbang kepada pemerkasaan MARA.

Katanya, lantikan baharu berkuat kuasa 1 Oktober ini bakal merubah hala tuju organisasi dalam meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera yang mana penubuhannya berasaskan prinsip merubah nasib bangsa.

“Biasalah, kalau kita lantik orang politik orang akan kata faktor politik dan begitulah sebaliknya. Tetapi saya tegaskan di sini mereka ini memiliki kehebatan dalam membawa kecemerlangan MARA,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan mengenai Ahli Majlis MARA dilantik atas faktor kroni Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang turut hadir, Pengerusi MARA, Dr Hasnita Hashim dan beberapa Ahli Majlis MARA yang baharu dilantik.

Pelantikan itu diumumkan Pejabat Perdana Menteri hari ini. Selain Hasnita, Ahli Majlis MARA yang baharu turut dianggotai Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Dr Nungsari Ahmad Radhi; Datuk Dr Ameer Ali Mydin; Datuk Syed Tamim Ansari Syed Mohamed; Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dan Zakri Khir.

Rina, berkata lantikan berkenaan tidak membabitkan penstrukturan semula MARA sebalik hanya penambahbaikan supaya dapat menjamin kecemerlangan prestasi agensi berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata siasatan berhubung penyelewengan wang MARA yang membabitkan jual beli hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) di Australia, masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kes itu masih dalam siasatan dan kita sentiasa memberikan kerjasama berhubung hal berkenaan,” katanya.

Awal tahun lalu, Mara Inc dilaporkan terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age yang mendakwa ia membayar harga lebih tinggi daripada pasaran untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House.

Sementara itu, dalam reaksi lantikan sebagai Pengerusi MARA, Hasnita berkata masih terlalu awal untuk menyatakan fokus yang akan dibawakan kelak, namun berharap memperoleh kerjasama dalam matlamat membangunkan masyarakat luar bandar.

“Saya mula bekerja pada 1 Oktober jadi pelan yang ingin dibuat pun mengambil masa. Tetapi saya menyifatkan amanah ini sangat besar.

“Semua daripada kami muka baharu dan kami akan bekerjasama untuk membangunkan masyarakat luar bandar tanpa mengira jantina, daripada pelbagai segi termasuk pendidikan, pelaburan dan sebagainya,” katanya.

Hasnita memiliki kelulusan kedoktoran dalam bidang Nuklear Fizik dari Oxford University, memiliki 26 tahun pengalaman dalam pengurusan kewangan global dan pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Guidance Investments, sebuah anak syarikat Guidance Financial Group.

Hasnita yang memulakan kerjaya di Coopers & Lybrand Deloitte, London sebagai seorang aktuari, adalah ahli Institute of Actuaries.

Beliau kini adalah Pengerusi Maybank Asset Management Group dan juga ahli lembaga pengarah Maybank Banking Berhad.

 

Sumber : Berita Harian Online, 26 September 2018.

Real time web analytics, Heat map tracking