Ahad 23 September 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 3 Sep - Malaysia dikecualikan bayar RM500 juta tangguh HSR

3 Sep - Malaysia dikecualikan bayar RM500 juta tangguh HSR

hsr

 

Malaysia dikecualikan daripada membayar penalti sebanyak RM500 juta susulan penangguhan dalam tempoh dua tahun bagi pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Memetik laporan akhbar The Edge, keputusan itu dicapai hasil ‘kata sepakat’ antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

 Menurut laporan yang memetik sumber, penangguhan itu berkuatkuasa sehingga 31 Mei 2020.

“Perjanjian berjaya dicapai atas semangat kejiranan yang baik antara Malaysia-Singapura.

“Singapura mengambil maklum bahawa kedudukan kewangan Malaysia menjadi kekangan kepada pelaksanaan projek berkenaan,” menurut sumber itu.

Laporan itu juga memaklumkan bahawa perjanjian asal untuk membina HSR yang ditandatangani pada 2016 tidak mengandungi peruntukan untuk menangguhkan projek berkenaan.

Pada 28 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek HSR sekali gus berkemungkinan perlu membayar pampasan sehingga RM500 juta kepada Singapura.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan HSR bukannya membatalkan projek pengangkutan itu.

Perdana Menteri juga dipetik berkata kerajaan tidak menafikan keperluan projek pengangkutan awam berkenaan pada masa akan datang namun terpaksa menangguhkan komitmen pembinaan HSR susulan ketidakmampuan ekonomi negara.

Katanya, kos keseluruhan pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer (km) dijangka menelan belanja RM110 bilion dan jumlah itu terlalu tinggi kerana kerajaan sedang berusaha mengurangkan hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion.

Pada 30 Ogos lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada di Singapura bertemu Menteri Pengangkutan republik itu, Khaw Boon Wan dalam satu mesyuarat.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, perbincangan antara kerajaan bersama Singapura bagi projek HSR hampir selesai yang bakal menguntungkan kedua belah pihak.

 

Sumber: Berita Harian, 3 September

Real time web analytics, Heat map tracking