Ahad 23 September 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 27 Ogos - 20 usul kebajikan pemandu akan diketengahkan - KBS

27 Ogos - 20 usul kebajikan pemandu akan diketengahkan - KBS

27.8 kbs

KUALA LUMPUR: Dokumen 20 usul membabitkan hal ehwal dan kebajikan pemandu akan diketengahkan untuk pertimbangan kerajaan secepat mungkin.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, berkata usul berkenaan tidak menyentuh sebarang bidang kuasa kementeriannya, namun ia akan tetap diperjuangkan atas dasar pemandu dianggap penggerak ekonomi negara.

“Saya akan bantu ketengahkan kepada kementerian lain kerana pemandu ialah antara komponen penting dalam ekonomi negara, tanpa mereka barang atau kargo tiada kaki untuk jalan sendiri.

“Siapa yang menggerakkan barang dan sektor perkhidmatan kalau tanpa sumbangan daripada golongan pemandu bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus menjadikan mereka rakan strategik untuk memacu Malaysia baharu yang maju, progresif lagi adil kepada semua.

“Komitmen kerajaan ialah tanpa membezakan warna kulit, agama atau bangsa, semua penduduk boleh mencari makan secara saksama,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis Ramah Mesra Pakatan Pemandu serta Gabungan Truckers Bersama Pemimpin, hari ini.

Perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini digegarkan dengan bunyi hon dan deruman enjin kenderaan berat yang mula berhimpun dan memenuhi segenap penjuru kawasan berkenaan sejak tengah malam tadi.

Acara membabitkan kehadiran kira-kira 4,000 peserta, mewakili 132 kelab dan persatuan pemandu di seluruh negara itu turut melakar rekod ‘Perhimpunan Gergasi Kenderaan Berat’ menerusi Malaysia Book of Record (MBOR).

Prihatin dengan kekangan kewangan Pakatan Pemandu dalam menganjurkan acara buat julung kali itu, Chee Keong mengumumkan peruntukan RM10,000 sebagai galakan ke arah usaha berterusan gabungan persatuan berkenaan mengangkat martabat pemandu di negara ini.

Selain itu, katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi kelulusan kepada gabungan berkenaan menggunakan perkarangan tempat letak kereta SNBJ secara percuma, berbanding bayaran RM35,000 yang lazimnya dikenakan bagi sebarang penganjuran acara.

“Lokasi ini (penganjuran) di bawah kelolaan KBS, tetapi kita berikan percuma sebagai satu bentuk galakan supaya acara sebegini terus diadakan demi manfaat kepada masyarakat dan golongan pemandu.

“Mereka juga memecahkan rekod menerusi MBOR apabila berjaya mengadakan perhimpunan gergasi pemandu kenderaan berat,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 27 Ogos 2018

Real time web analytics, Heat map tracking