Khamis 16 August 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 10 Ogos - SPRM sita RM1 juta, 16 kenderaan daripada 17 pengawal JPM

10 Ogos - SPRM sita RM1 juta, 16 kenderaan daripada 17 pengawal JPM

10.8 sprm

KUALA LUMPUR: Wang tunai berjumlah hampir RM1 juta bersama 16 kenderaan serta pelbagai barangan kemas disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil siasatan terhadap 17 pegawai keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Aset dan wang tunai itu difahamkan hasil penyalahgunaan wang peruntukan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dipercayai diambil mereka daripada pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Difahamkan, aset yang disita SPRM setakat ini ialah wang tunai berjumlah RM978,800; lima buah kereta; 11 buah motosikal; lima bentuk cincin; seutas gelang; empat utas rantai; 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.

Lima kereta disita itu terdiri daripada Volkswagen Golf GTI; tiga buah Honda dan sebuah Perodua Alza, manakala 11 motosikal adalah model Yamaha dan Honda.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika mengesahkan penyitaan itu, berkata pasukan penyiasat masih berusaha mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, SPRM sedang membuat penilaian keseluruhan aset yang disita itu daripada semua.

Media sebelum ini melaporkan 17 anggota keselamatan didakwa mengambil wang terbabit daripada pejabat Najib selepas mengetahui Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Wang yang dilaporkan tidak disimpan dalam peti keselamatan itu, dikatakan adalah sebahagian daripada dana pilihan raya UMNO.

Anggota keselamatan terbabit dipercayai sebahagian daripada pasukan bertugas pada malam PRU-14 lalu, untuk menyediakan kawalan keselamatan di jabatan berkenaan.

Semalam, SPRM mendapatkan perintah tahanan reman lima hari terhadap suspek berusia antara 31 hingga 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian Online, 10 Ogos

Real time web analytics, Heat map tracking