Khamis 16 August 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 9 Ogos - Hampir separuh majikan berdaftar tak carum PERKESO

9 Ogos - Hampir separuh majikan berdaftar tak carum PERKESO

9.8 perkeso

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hanya 435,000 daripada 740,000 majikan berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri mahu lebih ramai majikan mendaftarkan pekerja masing-masing sebagai tanda membela hak mereka.

"Rakyat Malaysia harus sedar dengan tanggungjawab dan hak mereka seperti disediakan kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

"Setiap majikan walaupun hanya mempunyai seorang pekerja, bertanggungjawab mendaftarkan perusahaan dan mencarumkan pekerja dengan PERKESO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Bayaran Faedah Skim Perlindungan Keselamatan Sosial kepada Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30, suami kepada Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, pendaki rakyat Malaysia yang maut dalam kejadian gempa bumi di Gunung Rinjani, Lombok, Indonesia, 29 Julai lalu.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; dan ibu bapa mangsa, Mazihah Mahmood dan Ismail Abd Raffar.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat berkata, Allahyarham Siti Nur Iesmawida memenuhi syarat dan kelayakan Skim Keilatan di bawah PERKESO.

"Ini melayakkan suaminya sebagai penerima Pencen Penakat untuk sepanjang hayatnya dan bayaran Faedah Pengurusan Mayat," katanya.

Sementara itu, Mohd Hafiz yang menerima bayaran RM863 sebulan sepanjang hayatnya menerusi skim itu berkata, wang berkenaan akan digunakan dengan cara yang memanfaatkan Allahyarham isterinya.

“Insya-Allah, saya akan gunakan dalam cara yang boleh membantu isteri mendapat pahala,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 9 Ogos

Real time web analytics, Heat map tracking