Selasa 21 August 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 6 Ogos - Bacaan kali kedua dijangka minggu ini

6 Ogos - Bacaan kali kedua dijangka minggu ini

6.8 parlimen

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat minggu ini dijangka hangat dan tegang susulan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dibacakan buat kali kedua di dalam Dewan sebelum dibahaskan Ahli Parlimen.

Kedua-dua RUU itu dibentangkan bagi membolehkan kerajaan menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dimansuhkan selepas dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul dikeluarkan Dewan Rakyat, Menteri Kewangan dijadual membentangkan dua RUU itu untuk bacaan kali kedua, termasuk RUU memansuhkan GST dan meminda Akta Kastam serta Akta Zon Bebas.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebelum ini berkata kerajaan mencadangkan Cukai Jualan dikenakan pada kadar 10 peratus manakala Cukai Perkhidmatan adalah enam peratus.

Perbahasan RUU berkenaan dijangka tegang memandangkan Ahli Parlimen pembangkang khasnya dari BN dijangka membantah GST dimansuhkan bagi membolehkan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan dilaksanakan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, yang dilaporkan akan mengemukakan usul di Dewan Rakyat bagi membantah pelaksanaan cukai berkenaan oleh kerajaan.

Khairy dilaporkan sebagai berkata, terdapat mekanisme lain boleh digunakan kerajaan untuk mengekalkan GST termasuk mengenakan kadar GST yang lebih rendah berbanding enam peratus sebelum ini.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Perdana Menteri dijangka akan bersuara bagi mempertahankan GST daripada dimansuhkan.

Beliau sebelum ini menegaskan pelaksanaan GST akan menurunkan harga barang, mengatasi masalah ketirisan kutipan cukai dalam kalangan peniaga dan menangani 'black economy' serta menaikkan kutipan kerajaan.

Sementara itu, pada persidangan minggu ini, Perdana Menteri akan mencadangkan Ahli Parlimen Beluran yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) manakala Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai timbalan.

Perdana Menteri turut mencadangkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat yang baharu iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai pengerusi dengan enam ahli iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut bersama, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Ahli Parlimen Cheras dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sumber : Berita Harian Online, 6 Ogos

Real time web analytics, Heat map tracking