Selasa 21 August 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 6 Ogos - Najib diminta kemuka bukti bayaran gaji Arul Kanda

6 Ogos - Najib diminta kemuka bukti bayaran gaji Arul Kanda

6.8 1mdb

GEORGETOWN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mahu Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan bukti pembayaran gaji RM5 juta kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda.

Katanya beliau mahu bekas perdana menteri menunjukkan bukti berkenaan agar rakyat Malaysia dapat mengetahui ke mana wang negara digunakan.

“Saya nak tanya bolehkah bekas perdana menteri tunjuk bukti bahawa Arul mendapat RM10 juta satu tahun dan RM5 juta untuk tempoh enam bulan, ini kerana beliau (Najib) menyatakan Arul mendapat gaji lebih tinggi semasa bekerja di tempat swasta.

“Jadi saya harap bekas perdana menteri boleh tunjuk bukti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media filem ‘Rise Ini Kalilah’ di sini, hari ini.

Guan Eng turut membidas kenyataan bekas perdana menteri bahawa Arul sudah banyak berkorban dan memberikan sumbangan terhadap 1MDB.

Sebaliknya, katanya, 1MDB hanya sebuah syarikat yang rugi dan mempunyai hutang yang banyak.

“Dia (Arul ) korbankan apa, apa yang dia rugi, sebenarnya kita boleh lihat Arul untung RM5 juta dalam tempoh enam bulan dan ini ditandatangani oleh Najib sendiri. So apa kata bekas PM, kita bukan nak dendam, kita hendakkan akauntabiliti, mananya pergi wang negara mengapa kita hutang sampai RM50 bilion untuk skandal 1MDB.

“Sekiranya kalau kita hendak menyiasat akauntabiliti dan transparency inipun dikira dendam, macam ini 30 juta rakyat Malaysia pun berdendamlah. 30 juta rakyat Malaysia pun nak tahu mana wang pergi, mengapa kita hutang begitu besar sampai RM50 bilion untuk satu skandal 1MDB .Ini belum kira skandal lain. Satu syarikat 1MDB sudah hutang RM50 bilion dan rugi begitu besar.” katanya.

Guan Eng berkata beliau memberikan masa kepada Najib untuk menunjukkan bukti berkenaan sebelum perbicaraan kesnya di mahkamah dimulakan.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu dilaporkan mempertahankan pakej gaji RM5 juta yang diberi kepada Arul yang disifatkan sebagai mendapat gaji lebih rendah ketika Arul berkhidmat dengan 1MDB berbanding jumlah yang diterimanya ketika bertugas dengan sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Najib turut dilapor berkata Arul sanggup menerima gaji jauh lebih rendah untuk bertugas dengan 1MDB, malah berjaya mengurangkan hutang syarikat milik negara itu daripada RM50 bilion kepada RM30 bilion.

Sumber : Berita Harian Online, 6 Ogos

Real time web analytics, Heat map tracking