Isnin 15 October 2018
A- A A+

3 Ogos - Kim Swee ambil risiko

 

FAM

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee sanggup mengambil risiko apabila tidak menyenaraikan penyerang senior apabila hanya mempertaruhkan penyerang muda untuk mengharungi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang bermula Jumaat depan.

Daripada tiga kuota pemain lebih umur, beliau memilih untuk menyerap Baddrol Bakhtiar (pemain tengah) dan Rizal Ghazali serta Aidil Zafuan Abd Radzak (pertahanan) bagi memperkuatkan pasukannya.

Namun Aidil tidak dapat bersama akibat kecederaan hamstring dan Kim Swee tidak boleh memanggil pemain lain daripada senarai 30 pemain yang didaftarkan.

Tidak seperti sesetengah pasukan lain termasuk Korea Selatan yang sanggup memanggil penyerang Piala Dunia dari kelab Tottenham Hotspur, Son Hung-min bagi mengisi kuota pemain lebih umur.

Ketika ini, daripada senarai 22 pemain yang dibawa ke China bagi latihan persiapan, Kim Swee hanya memiliki Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, R Kogileswaran dan N Thanabalan untuk mengisi bahagian serangan.

Ini susulan dua penyerang Jafri Firdaus Chew mengalami kecederaan manakala Hadi Fayyadh Abd Razak dilepaskan kerana mengikuti sesi percubaan dengan kelab liga divisyen dua Jepun, Roasso Kumamoto.

"Saya tahu mungkin ada yang mempertikaikan kenapa saya hanya membawa pemain muda di bahagian serangan, tapi saya mempunyai kepercayaan dengan penyerang yang ada bersama pasukan ketika ini.

"Kalau kita lihat berdasarkan prestasi pemain di China, (Kejohanan AFC B-23) Januari lalu, pemain seperti Safawi, Akhyar dan Thanabalan beraksi dengan baik. Syafiq tidak bersama dengan pasukan sebelum ini tapi dia menjaringkan gol ketika mewakili skuad senior," kata Kim Swee.

Tambah Kim Swee, walaupun pilihan pemain yang ada semakin terhad akibat masalah kecederaan dan kegagalan Nor Azam Azih serta Matthew Davies tidak mendapat pelepasan daripada Pahang, beliau sanggup melepaskan Hadi ke Jepun demi karier pemain muda itu.

"Ini peluang keemasan untuk Hadi merebut peluang. Harus diingat peluang ini bukan selalu datang. Saya sangat inginkan Hadi bersama pasukan B-23 tetapi dalam masa yang sama saya tahu ini adalah masa depannya di mana dia akan menjadi pemain lebih baik di Jepun," katanya.

Malaysia berdepan tugas mencabar pada kempen Sukan Asia bermula 10 Ogos ini apabila diundi menentang juara bertahan Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.


Sumber: Berita Harian, 3 Ogos

Real time web analytics, Heat map tracking