Rabu 17 October 2018
A- A A+

Amalan puasa rawat jiwa kotor

Amalan puasa rawat jiwa kotor

AMALAN puasa antara bentuk ibadah bertujuan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Malah, ibadah itu ialah latihan spiritual dan penyucian jiwa bertujuan mendidik hati agar dijauhi sifat mazmumah yang boleh menjerumuskan Mukmin ke lembah kemaksiatan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi, berkata amalan berpuasa diperintahkan Allah SWT melalui al-Quran yang bermaksud; "Hai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan, (lalu berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya, membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itu lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui." (Al-Baqarah, ayat 183-184)

Kelebihan amalan berpuasa begitu banyak dari segi kerohanian dan fizikal. Dari sudut kesihatan, amalan berpuasa boleh mengawal masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit tertentu, manakala dari segi ibadah pula, ia bertujuan meningkatkan ketakwaan dan ketaatan terhadap setiap perintah Allah SWT.

Manfaat amalan puasa Antara manfaat amalan berpuasa dari segi spiritual, berpuasa dapat merawat kekotoran hati dan menundukkan nafsu yang banyak mengajak manusia ke arah perkara yang tidak baik.

Dalam mengamalkan puasa, terdapat adab dan cara yang perlu diikuti bagi mendapat kualiti puasa yang akhirnya memberi kesan baik kepada Mukmin yang istiqamah. Ahli tasawuf membahagikan puasa kepada tiga jenis, iaitu puasa awam, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum atau awam ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa tahap ini seperti puasa orang awam yang bertujuan untuk kesihatan dan sebagainya. Puasa sebegini hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara membatalkan puasa.

Puasa khusus pula, ialah puasa tahap kedua bertujuan menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada perbuatan yang membawa kepada dosa. Puasa pada tingkatan ini antara lain juga memelihara dan menjaga akhlak serta melakukan perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasa.

Seterusnya terakhir ialah puasa khusus al-khusus, iaitu tahap yang paling tinggi. Puasa pada tingkatan ini adalah menahan hati daripada keinginan buruk dan memikirkan sesuatu selain Allah. Puasa ini juga adalah puasa hati daripada segala pemikiran kotor dan tidak lagi memikirkan perkara duniawi, selain hanya memikirkan serta mengingati Allah semata-mata.

Bagi Mukmin yang bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah kepada Allah akan lahir perasaan seronok dan bahagia dalam mengamalkan ketaatan kepada-Nya sehingga seluruh lembaran hidup hanya mahu mengabdikan diri kepada Allah.

Dikurnia kebahagiaan

Justeru, Mukmin yang mujahadah dan istiqamahnya berada pada tahap tinggi ini, pasti dapat menikmati manisnya ibadah serta indahnya ketaatan. Lalu seseorang Mukmin yang mencapai tahap ini akan dikurniakan Allah kebahagiaan, kelapangan dan ketenangan hati yang hakiki untuk terus beramal ibadah kepada-Nya.

Sesungguhnya begitu banyak kelebihan mengamalkan ibadah puasa seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi: "Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untukku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran pahala padanya." (HR Bukhari)

Amalan puasa yang dilakukan ikhlas kerana Allah SWT akan menatijahkan hati yang sentiasa dalam neraca keimanan dan pastinya ganjaran pahala yang hebat dari Allah SWT.

Sumber: Berita Harian Online 21 Mac 2018

Kemaskini sehingga: 30 Mac 2018

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking